20160113 - Champions Challenge - Puchong United BC - Ayumi Mine-004
Mine Ayumi yang cemerlang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Elisabeth Purwaningtyas dan memberikan kelebihan 6-1 kepada Puchong United.

Resorts World Genting Champions Challenge - Logo 240x276Kelab Badminton Puchong United menjadi pasukan ketiga mara ke separuh akhir Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015 setelah menundukkan Kelab Badminton Petaling 12-7 pada aksi suku akhir yang sedang rancak berlangsung di Arena of Stars.

Sejurus mengesahkan kemaraan, pengurus pasukan Puchong United, Irina Inozemtseva tidak menunggu lama untuk melaungkan keyakinan betapa mereka mempunyai kredibiliti yang diperlukan untuk layak ke perlawanan akhir sekaligus memperbaiki pencapaian menduduki tempat ketiga pada edisi lalu setelah kecundang kepada Muar City dalam aksi separuh akhir.

“Ia aksi yang cukup hebat, pemain menunjukkan kualiti yang mereka ada. Kita sepatutnya menang lebih awal tetapi tekanan yang begitu hebat menyebabkan beregu campuran tewas mengejut. Semua kecewa, tetapi kami beri motivasi dan keyakinan kepada pemain kerana aksi selepas itu adalah penentu, dan mereka lakukannya dengan cemerlang.

“Sekarang kita sudah mencapai sasaran minima untuk layak ke separuh akhir dan saya yakin kita ada kelebihan untuk layak ke final. Kita tidak mahu berhenti di sini, tahun lalu kita tewas di separuh akhir dan pemain begitu mahu untuk menebus kekalahan tahun lalu,” ujar Irina.

Setelah cemerlang membantu Puchong United mengejutkan Muar City Ahad lalu, Liew Daren sekali lagi tampil mempamer belang apabila menghadiahkan permulaan garang buat Puchong United menerusi kemenangan 3-1 (4-11, 11-4, 11-6, 11-10) ke atas juara Grand Prix kebangsaan Iskandar Zulkarnain meskipun tewas pada set pertama.

“Ia bukan mudah kerana saya bermula dengan berhati-hati pada set pertama,  saya alami sedikit kecederaan, tetapi setelah tewas saya tekad untuk menang tidak kira apa pun. Iskandar juga tidak berada pada prestasi sebenar, melakukan kesilapan mudah. Saya jangkakan tentangan lebih sengit dan ini membolehkan saya beraksi lebih yakin untuk menang,” ujar Daren.

Kemenangan Daren, menyuntik inspirasi buat rakan sepasukan, Mine Ayumi yang cemerlang mencatat kemenangan 3-0 ke atas Elisabeth Purwaningtyas dan memberikan kelebihan 6-1 kepada Puchong United.

Puchong United boleh mengesahkan kemaraan sekiranya gandingan Cheh Wen Hsing/Yew Hong Kheng menang dalam acara beregu campuran tetapi mereka tewas 0-3 kepada Ardianshah/Devitika Permatasari sekaligus membolehkan Petaling merapatkan kedudukan menjadi 4-6.

Aksi lebih sengit berlangsung dalam acara beregu lelaki apabila Ow Yao Han/Tan Wee Gien bekerja keras untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Lew Min Hui/Shia Chun Kang, sekaligus bermakna Puchong United hanya memerlukan satu mata sahaja dalam aksi perseorangan lelaki terakhir untuk mengesahkan kemaraan.

Soo Teck Zhi yang mengalas cabaran terakhir tidak mengecewakan meskipun turut diheret beraksi lima set sebelum mencatat kemenangan 3-2 dan memuktamadkan kemenangan 12-7 buat Puchong United.  

Puchong United menyertai Muar City dan Ampang Jaya yang terdahulu mara ke separuh akhir pada Selasa. Pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung Sabtu, Puchong United dijadual menentang pemenang antara Kelab Badminton Petaling Jaya dan Kelab Badminton Kepong yang berentap memburu slot terakhir yang tinggal. 

- Advertisement -