Skuad bolasepak kebangsaan naik tiga anak tangga ke kedudukan 155 berbanding 158 pada bulan lalu dalam ranking dunia terbaru dikeluarkan FIFA pada Khamis.

Namun tiada apa untuk dibanggakan dengan pencapaian itu memandangkan itulah ‘kedudukan lazim’ Harimau Malaya sejak bertahun lamanya – di sekitar kelompok 150 hingga 160 dunia – bak kata orang utara, ‘pi mai pi mai tang tu’.

Dengan skuad kebangsaan juga tidak beraksi sebarang perlawanan sejak aksi terakhir menentang Filipina yang berkesudahan seri tanpa jaringan pada Mac lalu, maka bolehlah dikatakan bahawa kenaikan ranking ini tidaklah dibantu oleh faktor prestasi mahupun pencapaian semasa.

Kedudukan terbaru ini bagaimanapun tidak merubah kedudukan pasukan negara di rantau Asia Tenggara, kekal di tangga keempat di belakang Filipina (126), Thailand (127) dan Vietnam (131).

Iran yang berada di kedudukan ke-30 pula kekal sebagai pasukan nombor satu Asia diikuti Korea Selatan (43), Jepun (45), Australia (48) dan Arab Saudi (53).

Di kedudukan lima teratas, tiada perubahan disaksikan dengan Brazil kekal merajai carta disusuli Argentina, Chile, Jerman dan Colombia.

Sementara itu, tiga pasukan yang akan menjadi pencabar Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2019 kesemuanya kekal berada di kedudukan lebih baik daripada pasukan bimbingan Nelo Vingada itu. Korea Utara di kedudukan 114, Lubnan (135) dan Hong Kong (148).

Malaysia akan memulakan cabaran pusingan kelayakan dengan menentang Lubnan pada 13 Jun depan, diikuti Hong Kong pada 5 September dan Korea Utara pada 5 Oktober. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -