Masih belum terlewat buat Sabah FC melakukan kebangkitan pada dua perlawanan terakhir di Stadium Likas dengan pungutan enam mata maksimum bakal menjanjikan tempat ke suku akhir.

Jelas ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, beliau mengharapkan pemain-pemain mampu kekal fokus selepas tumbang dua kali di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Walaupun tewas, Kim Swee berasakan majoriti pemain muda yang diturunkan dalam kedua-dua perlawanan tersebut telah mempelajari banyak pengalaman baharu berdepan pasukan yang berkualiti seperti JDT.

“ Sememangnya, Sabah sedang memberikan tumpuan penuh hadapi kedua-dua perlawanan ini dan akan cuba perbaiki kelemahan pasukan selepas dua perlawanan dengan JDT.

“ Saya rasa pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan itu telah mendapat sesuatu yang berharga apabila berjumpa dengan pasukan yang boleh dikatakan terbaik dalam Liga Malaysia sebelum kita turun menentang Kelantan FC serta PJ City (Petaling Jaya City FC).

“ Sudah tentu bermain di laman sendiri, sokongan penyokong amat ditagih kerana boleh menjadi motivasi buat kami terutama dalam mencari tiga mata penting ke atas Kelantan FC.

“ Cukup penting kami memenangi perlawanan ini kerana hanya kemenangan sahaja membolehkan kami merapati kedudukan PJ City sebelum perlawanan terakhir dengan mereka, ” katanya.

Sabah setakat ini hanya meraih dua mata dari empat perlawanan apabila seri 1-1 dengan PJ City pada perlawanan pertama sebelum sekali lagi meraih satu mata apabila bertemu Kelantan dengan keputusan 2-2 di Kota Bharu.

Walaupun menduduki tangga terakhir Kumpulan B, Sabah masih berpeluang untuk mengulangi pencapaian pada 10 tahun lalu apabila layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Sementara itu, Kim Swee mengakui terpaksa terus bergantung kepada sebahagian besar pemain muda bagi hadapi Kelantan FC ekoran beberapa tonggak utama masih dilanda kecederaan.

“ Buat masa ini pemain seperti Park Tae Su, Nazirul Naim, Rawilson Batuil dan Dendy Lowa masih belum pulih daripada kecederaan, jadi ada kemungkinan besar tidak dapat bermain.

“ Manakala Levy Madinda masih dalam tempoh kuarantin dan penyerang import, Josip Ivancic, mengalami kecederaan jangka panjang serta tidak lagi boleh bermain dalam saingan Piala Malaysia.

“ Jadi, saya fikir bukan satu perkara mudah untuk mendapatkan kemenangan dengan Kelantan FC dalam situasi terkini memandangkan mereka juga sebuah pasukan yang sukar ditewaskan, itu sudah terbukti kerana mereka berjaya berikan saingan kepada lawan lain dalam kumpulan ini, ” katanya.

Satu lagi perlawanan yang turut berlangsung dalam Kumpulan D pada Sabtu ialah membabitkan PJ City dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya selain satu-satunya perlawanan bagi Kumpulan C antara Kelantan United FC dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

- Advertisement -