Jurulatih skuad futsal kebangsaan Chiew Chun Yong mengumumkan senarai 18 pemain untuk menyertai kem latihan pusat dan pemilihan fasa tiga pasukan negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula 13-30 September ini.

Senarai itu menyaksikan Chun Yong mengekalkan 14 pemain daripada sesi latihan fasa dua bulan lalu tatkala tonggak utama Saiful Aula Ahmad kembali ke dalam skuad bersama-sama pemain Kuantan Rangers, Yazid Kamaruzuan.

Saiful yang membantu Melaka mempertahankan kejuaraan Liga Futsal Kebangsaan dengan rekod cemerlang menang kesemua 18 perlawanan terpaksa disisihkan bulan lalu kerana baru melangsungkan perkahwinan.

Manakala Yazid pula tidak dapat bersama kerana mewakili kelab dari Australia, VIC Vipers secara pinjaman dari Kuantan Rangers FC di Kejuaraan Futsal Kelab-Kelab AFC di Indonesia.

Turut kembali ke dalam skuad adalah seorang lagi pemain tonggak dari Kuantan Rangers, Akmarulnizam Idris yang tersisih kerana kecederaan pangkal paha.

Chun Yong yang sedang mempersiapkan skuad bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF di Indonesia pada November depan terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain dalam sesi kali ini kerana penglibatan mereka di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak yang berlangsung dari 11-22 September.

Antaranya Saad Sani (Melaka); Nur Hazim Suleiman, Farikh Khabibor Rahman, Awalludin Mohd Nawi dan Aidil Shahril Rosli (Perak); Ahmad Harith Naim Mohd Nasir, Iskandar Harun dan Zainal Abidin Hamzah (Kuantan Rangers) serta Ahzar Aris (Sabah). MUHD AIMAN 

Senarai 18 pemain :

Melaka : Abu Haniffa Hassan, Awaluddin Hassan, Saiful Nizam Mohd Ali, Azrul Hadee Taufiq, Khairul Effendy Bahrin, Azri Rahman, Azwann Ismail, Saiful Aula Ahmad, Syahman Idris
Perak : Ridzwan Bakri, Shamar Fadzil
Kuantan Rangers : Akmarulnizam Idris, Syafiq Hamzah, Mohd Iftitah Ahmad, Yazid Kamaruzuan, Iqbal Aikal Mohd Noor
Felda United : Ridzwan Zainal
Selango MPSJ United : Syed Aizad Danial Syed Nasir

- Advertisement -