Resorts World Genting Purple League - logo W245Aksi Resorts World Genting Purple League 2015 memasuki minggu terakhir dengan tumpuan terarah kepada persaingan empat penjuru antara Petaling Jaya BC, Cheras BC, Petaling BC dan Puchong United BC untuk menamatkan liga selaku naib juara di belakang Muar City.

Dengan Muar City yang unggul dengan beza 99 perlawanan di tangga teratas sudahpun mengesahkan kejuaraan pada Ahad, debaran kini beralih kepada empat pasukan itu dalam apa yang boleh disifatkan bakal menjadi penutup cukup dramatik bagi saingan RWGPL 2015.  

Cheras yang tunduk kepada Petaling Jaya dalam aksi getir yang merubah kedudukan kedua-dua pasukan, akan terlebih dahulu mencuba nasib mereka apabila turun menentang Muar City yang menang kesemua sembilan perlawanan pada Selasa sebelum menutup tirai dengan menentang Klang United pada Sabtu.

Tatkala Muar City dilihat terlalu kuat untuk ditundukkan, jurulatih Cheras Rashid Sidek mengakui tidak meletak harapan besar pada perlawanan itu sebaliknya mahu pemainnya mengutip seberapa banyak mata yang boleh sebelum mengharapkan kemenangan dengan defisit besar pada perlawanan terakhir.

Petaling Jaya yang kini berada di tangga kedua dengan kelebihan lima perlawanan ke atas Cheras, dilihat mempunyai peluang paling cerah mengulangi pencapaian muncul naib juara musim lalu apabila dijadual berdepan Serdang BC pada Khamis dan Kepong pada perlawanan terakhir.

Begitupun dengan hanya lapan pasukan teratas liga akan layak beraksi dalam Champions Challenge yang akan berlangsung dai 12-17 Januari di Arena of Stars, Genting, Petaling Jaya sudah tentunya tidak mahu memandang enteng cabaran kedua-dua pasukan itu yang memerlukan kemenangan untuk kekal di zon selamat.

Kepong kini berada di tangga keenam setelah menewaskan Serdang pada Ahad manakala kekalahan buat Serdang menyaksikan mereka tergelincir ke tangga ketujuh dengan tiga pasukan di bawah mereka – Ampang Jaya, Nusajaya dan Klang United kesemuanya masih berpeluang untuk mengejar.

Puchong United yang menyalakan semula peluang menerusi kemenangan ke atas Bangsar Hawks, ketika ini ketinggalan 16 perlawanan di belakang Petaling Jaya dan berpotensi besar untuk terus merapatkan kedudukan apabila turun menentang pasukan tangga tercorot, Kajang BC yang masih mencari kemenangan sulung pada Rabu.

Begitupun, mereka berdepan cabaran sukar apabila dijadual berdepan Muar City pada perlawanan terakhir pada Ahad, yang akan turut menjadi aksi penutup tirai RWGPL 2015.

Selain itu, Petaling turut mempunyai peluang untuk memintas pada saat akhir sekiranya berjaya mencatat kemenangan besar ke atas dua pasukan yang berada di kelompok lima terbawah, Nusajaya pada Rabu dan Ampang pada Sabtu sambil mengharapkan Cheras, Petaling Jaya dan Puchong kesemuanya gagal mencatat kemenangan.

Dengan kesemua empat pasukan yang sedang mengejar kedudukan kedua tidak akan bertembung sesama sendiri pada baki dua perlawanan terakhir ini, ianya jelas bahawa kesemua mereka berpotensi mengutip mata semaksima mungkin, dalam masa sama mencicirkan mata semaksima mungkin sekaligus menjanjikan aksi penuh debaran di Arena of Stars, hujung minggu ini.  

- Advertisement -