foto – FA Selangor

Ketua jurulatih Selangor, B.Sathianathan menyifatkan fasiliti latihan pasukan itu sebagai cukup ‘menyedihkan’ dan menganggap pengurusan lama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak memainkan peranan dengan baik untuk merubah keadaan itu sebelum ini.

Bagi Sathianathan, ketiadaan tempat latihan tetap dan bilik persalinan yang sempurna adalah sesuatu yang tidak boleh diterima malah menurutnya kegagalan skuad Red Giants untuk turun berlatih di Stadium Shah Alam yang merupakan gelanggang ‘home’ mereka bagi musim 2019 turut menjejaskan persiapan pasukannya bagi menghadapi musim baru Liga Super, minggu depan.   

“Selangor diketahui mempunyai sejarah gemilang dan pasukan yang paling berjaya di negara ini sejak 40 tahun lalu masih lagi tidak ada pusat latihan sendiri. Bilik persalinan latihan pun kadang-kadang satu kena kongsi ramai dan ia sungguh menyedihkan buat pasukan seperti Selangor.

“Cuba bayangkan apabila ada pemain import datang ke Selangor dan dengar perkara hebat-hebat pasal pencapaian pasukan, tapi bila tengok bilik persalinan latihan mesti dia pun tak jadi nak main.

“Itu belum lagi cerita kalau saya nak berlatih di Stadium Shah Alam. Mereka (pengurusan stadium) kata sedang melakukan penambahbaikan di stadium, tolonglah saingan liga dah nak mula takkan baru sekarang nak buat semua itu.

“Bila saya cakap pasal JDT (Johor Darul Takzim) atau puji mereka, orang cakap saya bodek dan macam-macam. Padahal memang betul kemudahan di sana memang terbaik sebab itu ramai pemain mahu ke sana.

“Ini semua silap pengurusan lama yang menyebabkan kami terpaksa menempuh segala masalah ini. Tapi saya percaya dengan pengurusan baru di bawah kepimpinan Raja Muda Selangor, semuanya akan diperbetulkan secara berperingkat.

“Sudah banyak perubahan disaksikan dan lebih banyak perubahan akan menyusul,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi Home dan Away pasukan Selangor bagi musim 2019 di Sunway Resort pada Sabtu.

Sebagai rekod, Sathianathan dilantik mengendalikan Red Giants musim ini selepas dua musim bersama Felda United dan sebelum itu pernah turut membimbing Angkatan Tentera Malaysia serta Kelantan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -