Oleh Muhammad Aiman

Atlet pelapis kebangsaan, Yap Sean Yee mencuri tumpuan di Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur (MSSKL) yang berlangsung di Kompleks Sukan MSN Setiawangsa apabila memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dalam laluan meraih emas acara lompat tinggi.   

Sean Yee merakam lompatan setinggi 1.81m pada percubaan kedua, mengatasi rekod terdahulu 1.79m yang dilakarnya dua kali di Kejohanan Terbuka Pahang pada 2015 dan terbaru di Sukan Universiti Asean tahun lalu.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas berpendapat kejayaan Sean Yee itu mencerahkan peluangnya mencabar pingat di temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Untuk rekod, dua tahun lalu di Singapura, atlet tuan rumah Michele Sng meraih gangsa dengan catatan 1.81m.   

Zainal turut gembira melihat peningkatan ditunjukkan Sean Yee dan berpendapat atlet itu berpeluang diserap ke dalam program Kita Juara seandainya terus konsisten dengan lompatan ketinggian 1.80m.

Mengenai pencapaian memberangsangkan skuad olahraga negara sejak setahun kebelakangan, Zainal berkata ia adalah petanda positif dan membuktikan olahraga sedang berada di landasan tepat untuk kembali menyinar setelah hampir sedekad melalui zaman suram.

Sean Yee adalah atlet ketiga untuk memperbaharui rekod kebangsaan tahun ini selepas Tan Huong Leong (marathon lelaki) dan Zaidatul Husniah Zulkifli (100m wanita). Manakala tahun lalu paling mencuri tumpuan adalah Khairul Hafiz Jantan yang memecahkan rekod 100m lelaki berusia 18 tahun milik Watson Nyambek.  

Dalam pada itu, Zainal turut memberitahu bahawa skuad olahraga negara yang ketika ini berlatih di Afrika Selatan berkemungkinan besar akan terus berlatih di luar negara dan menyertai beberapa pertandingan di Eropah dari Mei hingga Julai depan sebagai persediaan menghadapi KL 2017.

Begitupun menurutnya ia bergantung kepada keputusan mesyuarat antara Kesatuan Olahraga Malaysia dan Majlis Sukan Negara yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.  

- Advertisement -