ceres.sgor

Oleh Muhammad Aiman

Ketiadaan sentuhan penyudah terus menghukum pasukan Selangor dan pengendalinya, Zainal Abidin Hassan mengakui masalah itu perlu segera diatasi jika skuad yang digelar gergasi merah kuning itu berhasrat melontar cabaran serius baik di dalam saingan Liga Super mahupun Piala AFC.

Tiga hari selepas diikat seri tanpa jaringan oleh PDRM dalam saingan liga, Zainal sekali lagi menangisi aksi kurang bermaya jentera serangan pasukannya apabila terpaksa berpuas hati dengan keputusan sama ketika menentang pasukan dari Filipina, La Ceres FC dalam saingan Piala AFC.

ā€œKita bertahan dengan baik dan berdisiplin. Tapi saya kecewa kerana kita mencipta peluang tapi kita tidak menyudahkannya, kita tidak boleh menang jika tidak menjaringkan gol.

ā€œIni bukan kali pertama dan jika kita mahu pergi lebih jauh, kita perlu belajar menjaringkan gol. Pemain perlu tahu betapa pentingnya untuk menyudahkan setiap peluang,ā€ ujar Zainal.Ā Ā  Ā 

Untuk rekod, Selangor hanya menjaringkan empat gol dalam lima perlawanan terakhir dan dilihat terlalu mengharapkan sentuhan ayam tambatannya, Patrick Ronaldinho Wleh yang merupakan penjaring terbanyak pasukan dengan 13 gol untuk mendapatkan jaringan.

Buktinya, apabila pemain dari Liberia itu dikeluarkan pada minit ke-20 kerana kecederaan dan digantikan oleh Adam Nor Azlin, tugas mencari gol dipikul rangkaian barisan depan diketuai Hazwan Bakri, Mauro Olivi dan Andik Vermanshah namun kesemua mereka dilihat tidak dapat menterjemahkan sentuhan klinikal di depan gawang lawan.

Zainal kini mempunyai masa lapan hari sebelum pertemuan liga yang seterusnya menentang T-Team pada 4 Mei diikuti perlawanan hidup mati Piala AFC menentang Tampines Rovers pada 10 Mei untuk memperbaiki ketumpulan penyudah pasukannya.

Dan sebagai sebuah pasukan elit yang membawa cabaran di saingan peringkat serantau, adalah penting untuk Selangor mengurangkan kebergantungan terhadap pemain tertentu untuk menjaringkan gol.

Selain Ronaldinho, Hazwan, Olivi dan Adam Nor, mereka masih ada Abdul Hadi Yahya justeru semua pemain perlu memainkan peranan mereka. Selangor perlu belajar hidup tanpa Ronaldinho!

- Advertisement -