Sembilan pemain bakal membuat penampilan dalam kejohanan yang  julung kalinya diperkenalkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) iaitu Kejohanan FIH Hoki 5’s Lausanne 2022 yang akan bermula pada 4 dan 5 Jun depan.

Pencapaian Malaysia merangkul pingat emas dalam Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina dan pembangunan Hoki 5’s di Malaysia antara faktor yang dilihat sebagai pemyumbang kepada FIH mengundang Malaysia untuk turut mengambil bahagian dalam kejohanan edisi sulung itu.

Lima pasukan lelaki akan berentap bagi merebut gelaran juara bagi kategori tersebut di mana Malaysia akan berentap bersama tuan rumah Switzerland, Poland, Pakistan dan India.

Sementara bagi kategori wanita, Poland, Switzerland, India, Uruguay dan Afrika Selatan akan bersaing bagi merebut gelaran juara sulung kejohanan tersebut.

Menurut Pengurus Pasukan Hoki 5’s negara yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5’s dan Prestasi Tinggi KHM, En. Hasnizam Hassan, sembilan pemain telah dipilih untuk mewakili negara ke kejohanan itu nanti daripada selepas sesi pemilihan dan latihan telah dijalankan sebelum ini.

“Kami telah menyenaraikan pemain yang akan ke Lausanne di mana enam daripada mereka pernah bermain di Sukan Olimpik Remaja sementara dua daripada skuad Projek Khas Lelaki yang sedang menjalani latihan untuk menghadapi Kejohanan Piala Dunia Remaja 2023 manakala seorang lagi pemain merupakan bekas pemain kebangsaan,” jelas beliau.

Sementara itu Ketua Jurulatih Hoki 5s negara, Megat Azrafiq Megat Termizi tidak mahu meletakkan sasaran yang tinggi meskipun Malaysia dilihat sebagai salah satu pasukan pilihan dan mahu menumpukan satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Dari segi sasaran, kita akan cuba tamatkan kejohanan di kedudukan sebaik mungkin. Kita akan cuba untuk memastikan setiap perlawanan akan berakhir dengan tiga mata.

“Kita dijangka tiba di Switzerland pada petang 2 Jun, jadi tiada sebarang perlawanan persahabatan akan dijalankan sebelum kami melalui perlawanan sebenar.

“Bagaimanapun kami akan menjalani dua sesi latihan sebelum kejohanan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan padang yang digunakan bagi kejohanan ini merupakan padang kering di mana ianya tidak akan disiram air seperti padang hoki biasa.

“Ketika sesi latihan yang kami lalui sebelum ini, kami juga telah cuba mengadaptasi dengan keadaan padang di kejohanan nanti di mana kami tidak menyiram air dan bermain dalam keadaan padang yang kering bagi menyesuaikan diri dengan keadaan padang sebenar nanti,” ujar Megat Azrafiq yang turut menjadi watak penting ketika Malaysia merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Remaja Argentina 2018.

Dalam pada itu, perlawanan akan dilangsungkan secara round robin dimana dua pasukan teratas akan beraksi di pentas final.

Malaysia akan memulakan saingan liga satu pusingan menentang tuan rumah, Switzerland sebelum bertemu Poland pada 4 Jun sementara Pakistan dan India akan menjadi lawan Malaysia pada 5 Jun.

Berikut merupakan senarai sembilan pemain yang akan menggalas tugas di Kejohanan FIH Hoki 5’s Lausanne 2022.

Bil Nama
1. Alfarico Lance Liau Jr
2. Mohamad Akhimullah Bin Anuar Esook
3. Nabil Fiqri Bin Mohd Nor
4. Muhammad Amirul Haniff Bin Mamat
5. Che Shahrul Azmi Bin Che Saupi
6. Muhammad Kamarulzaman Bin Kamaruddin
7. Muhammad Faris Bin Harizan
8. Muhammad Muhibuddin Bin Moharam
9. Muhammad Noor Firdaus Bin Rosdi

 

Berikut merupakan jadual perlawanan pasukan Malaysia di peringkat liga satu pusingan.

Tarikh / Hari Masa Perlawanan
4 Jun 2022 (Sabtu) 6:30 Petang

10:00 Malam

Malaysia lwn Switzerland

Malaysia lwn Poland

5 Jun 2022 (Ahad) 7:00 Malam

10:00 Malam

Malaysia lwn India

Pakistan lwn Malaysia

6 Jun 2022 (Isnin) 12:30 Tengah Malam Perlawanan Akhir

** Waktu Perlawanan Adalah Waktu Malaysia

- Advertisement -