Liga Malaysia terus berjaya menarik bintang dari Singapura untuk mewarnai saingan musim 2018 apabila pemain tengah, Shahdan Sulaiman meninggalkan Tampines Rovers untuk menyertai Melaka United secara pinjaman selama semusim.

Pemain dari republik itu yang sudah sedia bermain dalam Liga-M sebelum ini adalah Sahil Suhaimi yang pernah menyarung jersi Sarawak pada 2017, manakala Hariss Harun mewakili Johor Darul Takzim sejak 2014 dan kembali memperkuatkan skuad juara Liga Super itu setelah semusim beraksi secara pinjaman dengan kelab lain.

Pertahanan serba boleh, Safwan Baharuddin mengikat kontrak bersama Pahang setelah meninggalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala Negeri Sembilan yang baru ‘dinaikkan pangkat’ kembali beraksi dalam Liga Super pula baru-baru ini mendapatkan khidmat Madhu Mohana.

Pengurus pasukan Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata kehadiran Shahdan akan mengisi slot import ASEAN pasukan itu dan kejayaan mereka mendapatkan khidmat pemain yang akan berusia 30 tahun pada tahun depan itu adalah menerusi kerjasama erat yang terjalin antara pasukan itu dengan Tampines Rovers.

Pemain itu yang masih lagi aktif mewakili pasukan kebangsaannya dan telah membuat lebih dari 50 penampilan antarabangsa menjadi pilihan direkrut sang kancil berbanding dua lagi rakan sepasukannya yang lain di skuad kebangsaan iaitu Hafiz Sujad dan Faris Ramli kerana Eduardo Almeida memerlukan seorang pemain yang boleh mengemudi jentera tengah pasukan.

“Pemain lain kebanyakkannya bermain di posisi depan seperti sayap dan serangan, Almeida mencari pemain tengah yang kreatif dan diyakini, sebab itu Shahdan menjadi pilihan. Kita yakin pengalamannya akan menjadi aset penting buat pasukan dan dapat membantu Melaka memberi tentangan sengit dan memburu kedudukan lima terbaik di dalam Liga Super,” kata Yusoff.

Selain Shahdan, tiga lagi pemain import yang memperkuatkan Melaka United adalah Steven Thicot, Tiago Gomes dan pemain dari Korea Selatan, Jeon Woo Young. Mereka masih mempunyai satu slot import untuk diisi.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -