Selepas satu perbincangan di antara Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, satu keputusan telah dicapai di mana menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, sesi latihan bagi Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan dan Skuad Projek Khas Lelaki serta Wanita akan berjalan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak MSN.

MSN juga telah mewakili KHM untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meneruskan sesi latihan di padang dan juga gimnasium sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020 bagi membendung penyebaran wabak Pandemik Covid-19.

Semua atlet kebangsaan yang mengikuti sesi latihan berkenaan akan ditempatkan di asrama MSN dan perlu mematuhi setiap garis panduan serta arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak MSN sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan keselamatan semua pihak dijaga dengan baik.

Jika terdapat mana- mana atlet yang tidak tinggal di asrama MSN, mereka dilarang sama sekali untuk menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

MSN juga telah menetapkan sepanjang tempoh latihan tersebut, atlet dan jurulatih tidak dibenarkan untuk berinteraksi atau mempunyai sebarang kontak dengan mana-mana individu luar demi memastikan keselamatan mereka berada di tahap terbaik dan ianya termasuk tiada sebarang liputan media dibenarkan dalam tempoh berkenaan.

KHM khususnya Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak MSN yang telah berusaha untuk membantu bagi memastikan sesi latihan Skuad Senior Lelaki Kebangsaan serta Skuad Projek Khas Lelaki dan Wanita untuk meneruskan sesi latihan mereka sepanjang tempoh PKPB.

KHM juga akan sentiasa mengingatkan semua atlet untuk mematuhi setiap arahan yang diberikan selain mengikuti SOP yang telah ditetapkan serta sentiasa mengamalkan rutin penjagaan kebersihan yang kerap selaras dengan saranan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KHM mengingatkan para atlet serta barisan kejurulatihan untuk sentiasa peka dan mengambil berat tentang kondisi badan mereka. Sekiranya atlet mahupun jurulatih mengalami sebarang tanda-tanda yang cenderung ke arah jangkitan wabak pandemik COVID-19, mereka dinasihatkan untuk segera memaklumkan perkara tersebut kepada pihak MSN mahupun KHM.

- Advertisement -