Malaysia melepasi sasaran 200 pingat pada Sukan SEA Thailand 2025 hari ini apabila skuad berbasikal trek negara beraksi cemerlang di Velodrom Hua Mark, dengan menyumbang tiga pingat emas untuk meningkatkan kedudukan keseluruhan kepada 46 emas selepas tamat saingan hari ke-9 di Bangkok. 

Sukan berbasikal trek sekali lagi muncul sebagai penyumbang emas paling prolifik negara apabila tiga emas diraih di Velodrom Hua Mark, Bangkok menerusi Muhammad Ridwan Sahrom (keirin), Nur Aisyah Zubir (acara scratch wanita) serta skuad kejar mengejar berpasukan lelaki.

Ridwan, 24, memulakan rentak kejayaan Malaysia dengan kayuhan bertenaga dalam final keirin, mencatat masa 10.996 saat untuk me gatasi dua pelumba tuan rumah bagi menghadiahkan emas pertama berbasikal negara.

Kuartet kejar mengejar berpasukan lelaki yang dibarisi Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan Newjoe Lau meneruskan rentak cemerlang dengan gandingan kayuhan meyakinkan, menewaskan Thailand yang terdiri daripada Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang untuk merangkul pingat emas.

Kejayaan itu menyaksikan Malaysia semakin merapatkan jurang ke kedudukan keempat keseluruhan dengan Singapura. Malaysia kini kekal di tempat kelima dengan 46 emas, 49 perak dan 109 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 200 pingat dengan selesa.

Memanah turut menyumbang emas apabila pemanah berpengalaman Juwaidi Mazuki mengemudi skuad negara menjuarai acara berpasukan Compound lelaki, menewaskan Thailand 232–228 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan.

Sejarah turut tercipta dalam sukan kabaddi apabila pasukan lelaki tiga bintang negara meraih pingat emas dalam penampilan sulung sukan itu pada temasya dwitahunan edisi ini di Universiti Teknologi Rajamangala.

Skuad bola sepak Malaysia pula menamatkan penantian lapan tahun untuk kembali ke podium Sukan SEA apabila menewaskan Filipina 2–1 di Stadium Rajamangala bagi meraih pingat gangsa. 

Gol dari Danish Hakimi Sahaluddin dan Haqimi Azim Rosli memastikan kejayaan itu, sekali gus menghadiahkan pingat bola sepak pertama negara sejak temasya edisi 2017.

Berbaki dua hari lagi sebelum temasya melabuhkan tirai pada Sabtu (20 Disember), tuan rumah Thailand terus menguasai carta pingat jauh meninggalkan pesaing dengan 197 emas, 130 perak dan 93 gangsa, hanya tiga emas lagi untuk melepasi angka 200 emas.

Indonesia di tempat kedua dengan 80 emas, 93 perak dan 103 gangsa, diikuti Vietnam (73-72-99). Singapura kekal di tempat keempat dengan 48 emas, 51 perak dan 69 gangsa, di hadapan Malaysia di kedudukan kelima.

Sebanyak 81 pingat emas dalam 31 acara akan dipertandingkan esok (19 Disember) apabila temasya memasuki hari kedua terakhir.

- Advertisement -