Tujuh tahun menanti, Sabah tidak rela kehadiran mereka di CIMB Liga Super hanya sekadar persinggahan selama satu musim dan akan menjadikan baki tujuh aksi yang tinggal ibarat perlawanan akhir bagi memastikan skuad Tambadau ini akan terus kekal pada 2021.

Ketua jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata, sejak pasukan itu mula berlatih minggu lalu, beliau telah memberi peringatan serta mengubah mentaliti pemain-pemainnya bahawa saingan liga kali ini akan jauh berbeza berbanding empat perlawanan terdahulu.

Justeru, sebarang peluang meraih tiga mata tidak boleh dibazirkan buat Sabah walaupun mereka kini berada di tangga keempat CIMB Liga Super menerusi pungutan lima mata daripada empat perlawanan.

“ Sejak hari pertama kami mula berlatih, saya telah mengingatkan pemain agar terus meningkatkan prestasi kerana hanya tujuh perlawanan sahaja yang kami akan lalui, jadi kami tidak boleh keciciran sebarang mata sambil menjadikan aksi tiap perlawanan umpama perlawanan akhir.

“ Kami tidak akan memilih perlawanan tertentu dalam meraih kemenangan sebaliknya akan fokus daripada satu ke satu perlawanan dan menganggap semua lawan yang kami akan tentang adalah sama.

“ Apa yang paling penting, pemain kena cepat kembali mendapatkan fokus sebelum liga bersambung kerana aksi perlawanan selepas ini begitu padat dan mereka perlu bersedia daripada segi fizikal serta mental bagi harungi saingan kali ini, ” katanya.

Daripada baki tujuh perlawanan CIMB Liga Super, Sabah akan melalui baki tiga perlawanan di laman sendiri dengan menentang Selangor, Melaka dan UiTM FC sementara empat lagi aksi di tempat lawan iaitu bertemu Terengganu FC, PJ City FC, Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Rekod Sabah dalam empat perlawanan sebelum ini boleh dibanggakan apabila meraih satu kemenangan iaitu 3-1 ke atas Felda United selain dua keputusan seri iaitu 0-0 dengan PDRM serta mengikat Perak 2-2 dan tewas 0-2 kepada Pahang.

Dalam masa sama, Kurniawan memohon sokongan padu daripada peminat Sabah untuk terus di belakang pasukan bagi memastikan skuad Tambadau sentiasa bersemangat dalam misi mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah dilalui pada era 90-an hingga pada awal tahun 2000.

Beliau sedar sambutan yang diberikan oleh peminat Sabah masih di tahap sederhana terutama ketika aksi sulung mereka di Stadium Likas semasa berdepan Felda United dan mengharapkan agar lebih ramai mereka turun ke stadium sekiranya kehadiran penonton dibenarkan semula pada masa akan datang.

“Dokongan rakyat Sabah cukup penting kepada pasukan dan saya rasa sokongan peminat masih boleh ditingkatkan lagi memandangkan kami sudah di Liga Super.

“Sebagai bekas pemain dan kini selaku jurulatih, sememangnya kehadiran penyokong yang ramai akan membangkitkan lagi semangat pemain tiap kali turun beraksi.

“Saya harap selepas penonton kembali dibenarkan ke stadium, agar lebih ramai rakyat Sabah datang ke stadium dan mencetuskan aura tersendiri kepada pasukan untuk bermain lebih baik, ” katanya.

- Advertisement -