KPM.100+Oleh Muhammad Aiman

Empat lagi perlawanan Liga Perdana Piala Remaja KPM – FAM (B-17) akan berlangsung minggu ini, dengan tumpuan sudah semestinya terarah kepada pertembungan di antara pendahulu SMK Mutiara Impian dan SMK Gunung Rapat.

Selepas sembilan perlawanan, pasukan dari Pulau Pinang itu masih unggul di tangga teratas dengan 22 mata meskipun tidak beraksi pada Sabtu lalu, berikutan pencabar terdekat SSM Pahang hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang pasukan tangga ketiga SMK Seri Titiwangsa.

Manakala SMK Gunung Rapat pula, walaupun ketinggalan jauh 12 mata di belakang, kemenangan 2-0 yang dilakar dalam situasi penuh dramatik pada Sabtu lalu ke atas SMK Tun Hussein Onn menyuntik motivasi kepada mereka untuk menyekat dominasi SMK Mutiara Impian yang hanya tewas sekali setakat ini.

“Saya kagum dengan komitmen pemain saya, mereka tidak berputus asa sehingga ke minit akhir dan berjaya mendapatkan dua gol di minit akhir. Memang aksi pertama selepas puasa dan raya sedikit sukar bagi semua pemain, kita berharap pemain dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik nanti bila berdepan pendahulu SMK Mutiara Impian.

“Mutiara Impian sudah tentunya satu pasukan yang mahu kita tewaskan, bukan sahaja kerana mereka pendahulu, tetapi juga kita berazam menebus kekalahan kepada pasukan itu pada pusingan pertama tempoh hari.

“Walaupun kami jangkakan ia satu perlawanan sukar, jika pemain boleh tunjuk prestasi baik dan tidak berputus asa seperti mana ketika perlawanan menentang SMK Tun Hussein Onn, saya berpendapat kita boleh kutip tiga mata,” kata jurulatih SMK Gunung Rapat.

Dalam aksi pusingan pertama antara kedua-dua pasukan pada 23 April lalu di Simpang Ampat, SMK Mutiara Impian melakar kemenangan 4-2 menerusi dua jaringan masing-masing oleh Mohamad Shahlee Yusoff dan Akif Ikraiz Zuhairi manakala SMK Gunung Rapat menjaringkan gol saguhati menerusi Azizul Ikhwan Nor Asman dan Norharshad Azhar.

Seperkara yang perlu diberi perhatian oleh SMK Gunung Rapat, sudah tentunya sentuhan jaringan cemerlang SMK Mutiara Impian yang setakat ini sudah meledak 27 jaringan – purata tiga gol bagi setiap perlawanan seterusnya bakal menjadi senjata utama mereka untuk mencari kemenangan kelapan musim ini.

Justeru, barisan pertahanan Gunung Rapat pastinya perlu menunjukkan disiplin tinggi dan berada pada tahap konsentrasi terbaik bagi mengelak dari membuka ruang menjaringkan gol buat lawan.

Sementara itu, turut berlangsung pada Sabtu (23 Julai) adalah perlawanan di antara MSS Putrajaya menentang SMK Seri Titiwangsa di Bangi, SMK Seri Kota menentang SSM Pahang di Melaka dan SMK Tun Hussein Onn menentang SMK Datuk Peter Monjuntin di Kluang.

Manakala dalam saingan Liga Super Piala Remaja KPM – FAM, tiga perlawanan akan berlangsung membabitkan SMK Putera menentang SMK Za’ba di Kota Bharu, SMK Bukit Nenas melayan kunjungan pendahulu SMK Tunku Mahkota Ismail di Setiu dan SMK Seberang Temerloh menentang SMK Tabuan Jaya di Temerloh.

 

Jadual aksi Liga Remaja KPM – FAM (B-17) – 23 Julai 2016

Liga Super

SMK Putera (Kelantan) lwn SMK Za’ba (N.Sembilan)

SMK Bukit Nenas (Terengganu) lwn SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor)

SMK Seberang Temerloh (Pahang) lwn SMK Tabuan Jaya (Sarawak)

 

Liga Perdana

SMK Gunung Rapat (Perak) lwn SMK Mutiara Impian (P.Pinang)

MSS Putrajaya lwn SMK Seri Titiwangsa (K.Lumpur)

SMK Seri Kota (Melaka) lwn SSM Pahang

SMK Tun Hussein Onn (Johor) lwn SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)

- Advertisement -