Piala Sultan Azlan Shah 2016

Oleh Muhammad Aiman

Malaysia mengetepikan kebangkitan lewat yang cuba diterjemahkan barisan kurang berpengalaman Jepun untuk mencatat kemenangan 4-3 pada aksi kedua Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 seterusnya melonjak selaku pendahulu kedudukan kumpulan dengan empat mata.

Setelah menampilkan aksi bertenaga untuk mengikat juara bertahan New Zealand 3-3 pada perlawanan pembuka tirai, anak buah Stephen Van Huizen turun dengan misi mengutip tiga mata dan tidak menunggu lama untuk menterjemahkan hasrat itu apabila mendahului seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan, Razie Rahim.

Jepun bagaimanapun hanya mengambil seminit untuk menyamakan kedudukan menerusi Hiroki Sakamoto juga menerusi pukulan sudut penalti.

Razie kembali memberikan pendahuluan kepada The Speedy Tigers setelah bijak menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-11 dan tuah pukulan sudut penalti terus menyebelahi Malaysia apabila giliran Haziq Shamsul pula mencetak nama selaku penjaring untuk melebarkan kelebihan kepada 3-1 pada minit ke-14.

Fitri Saari menambah derita Jepun apabila menyempurnakan pukulan penalti strok pada minit ke-32 untuk kelebihan selesa 4-1.

Seolah berpuas hati dengan kelebihan tiga gol, Malaysia mengendurkan asakan di suku terakhir permainan dan dihukum apabila Jepun bangkit menjaringkan dua gol, kedua-duanya menerusi pukulan sudut penalti Shota Yamada namun tidak memadai untuk menghalang Malaysia dari mencatat kemenangan 4-3.

Malaysia melonjak ke tangga teratas, dibantu kekalahan juara Sukan Asia, India yang tewas 1-5 kepada juara lapan kali, Australia serta keputusan seri 1-1 di antara New Zealand dan Kanada.

Australia yang menurunkan skuad bayangan Sukan Olimpik melaungkan hasrat mahu kembali merampas trofi yang mereka lepaskan kepada New Zealand tahun lalu dengan penuh bergaya setelah menundukkan India yang beraksi tanpa beberapa pemain tonggak senior.

Walaupun suku pertama perlawanan dilihat berlangsung seimbang, Australia memanfaatkan kesilapan demi kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan India untuk menjaringkan gol menerusi Blake Govers, Jacob Whetton, Eddie Ockenden, Simon Orchard dan Matt Gohdes.

Australia akan berdepan Malaysia pada perlawanan seterusnya yang akan berlangsung pada Sabtu.

Dalam satu lagi perlawanan antara dua pasukan yang dalam persiapan ke Sukan Olimpik, New Zealand sekali lagi dipaksa bekerja keras untuk bangkit mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kanada. Gordon Johnston meletakkan Kanada mendahului pada minit ke-25 sebelum Nic Woods menyamakan kedudukan pada minit ke-45.

- Advertisement -