mas-hockey

Oleh Muhammad Aiman

Pasukan hoki negara meneruskan permulaan cemerlang dalam saingan Trofi Juara-Juara Asia apabila mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan China 5-1 di Stadium Hoki Kuantan, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen yang membuka tirai kejohanan dengan bergaya menewaskan juara bertahan Pakistan 4-2 pada Khamis, hanya mengambil masa enam minit untuk berada di depan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Haziq Samsul.

Haziq kemudiannya menggandakan kelebihan buat The Speedy Tigers, sekali lagi dengan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-20 sebelum Fitri Saari mengukuhkan cengkaman dengan menjaringkan gol ketiga dua minit kemudian untuk Malaysia mendahului 3-0 di separuh masa pertama.

Tiga minit bersambung permainan, Bowen Wang mengurangkan defisit jaringan apabila menjadikan kedudukan 1-3 setelah percubaannya menewaskan S.Kumar di gawang negara namun Malaysia tidak menunggu lama untuk kembali membuka jurang tiga gol hasil pukulan sudut penalti disempurnakan Shahril Saabah pada minit ke-37.

Kebergantungan Malaysia kepada kudrat pakar pukulan sudut penalti nyata tidak mengecewakan apabila giliran Firhan Ashaari pula menyempurnakan peluang yang hadir pada minit ke-54 untuk jaringan kelima tuan rumah sekaligus memastikan kemenangan mutlak 5-1.

Aksi pasukan negara yang seterusnya adalah pada Ahad, berdepan Jepun yang tewas besar 2-10 pada perlawanan pembukaan kepada India. 

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung di sebelah petang, Pakistan menyalakan misi mempertahankan kejuaraan apabila bangkit dari kekalahan kepada Malaysia dalam aksi pertama untuk menewaskan Korea Selatan 1-0.

Gol tunggal buat skuad bimbingan Junaid Khan itu dijaringkan oleh Abdul Khan pada minit akhir permainan menerusi pukulan sudut penalti.

Setelah tamat dua perlawanan, Malaysia mengungguli kedudukan peringkat kumpulan dengan enam mata, diikuti India di tempat kedua manakala Pakistan di tempat ketiga.  

- Advertisement -