zhiayi

Oleh Muhammad Aiman

Walaupun mengumpul catatan mata rendah, ianya sudah memadai untuk menghadiahkan pingat gangsa buat penerjun negara Loh Zhiayi di Pusingan Grand Prix Terjun Dunia yang membuka tirainya di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Penerjun berusia 19 tahun itu mengumpul jumlah keseluruhan 285.55 mata untuk berkesudahan di belakang pemenang emas, Lian Jie (302.65) serta perak Xia Bingqing (298.25) – masing-masing dari China. 

“Ia bukan catatan terbaik saya tetapi kira ok lah memandangkan saya hanya mula berlatih dua minggu sebelum pertandingan. Saya bernasib baik juga kerana penerjun dari Australia dan Amerika Syarikat tidak beraksi dengan baik di final,” kata Zhiayi.

Terdahulu, Zhiayi menduduki tempat kedua di peringkat separuh akhir ‘A’ dengan catatan 242.05 mata manakala seorang lagi penerjun, Kimberly Bong gagal melangkah ke akhir apabila sekadar mencatat 216.20 mata untuk berkesudahan di tempat keempat separuh akhir ‘B’.   

Dalam acara 3m papan anjal lelaki akhir, Chew Yiwei gagal menyerlah apabila menamatkan saingan di tempat kelima dengan mengumpul 371. 60 mata – emas acara itu dimenangi Xie Siyi dari China dengan catatan 479.15, manakala perak milik Peng Jianfeng juga dari China manakala gangsa dimenangi Kevin Chavez dari Australia.

Untuk rekod, skuad terjun negara menyandarkan harapan kepada penerjun olimpik Wendy Ng Yan Yee, Kimberly, Zhiayi dan Jasmine Lai untuk membawa cabaran di kejohanan ini selepas kehilangan khidmat empat penerjun elit Pandelela Renong, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong.

Manakala bagi kategori lelaki, cabaran dipikul oleh Ooi Tze Liang, Amsyar Azman, Yiwei dan Syafiq Puteh.

- Advertisement -