20160430 - LigaKPM U14 - SSM Bukit Jalil (MERAH)vs SSN Selangor(PUTIH)001
SSM Bukit Jalil (MERAH) vs SSN Selangor (PUTIH)

20160430 - LigaKPM U14 - SSM Bukit Jalil (MERAH) vs SSN Selangor (PUTIH)-004

SSM Bukit Jalil kembali ke tangga teratas Liga Super Piala Menteri Pendidikan (B-14) setelah tampil dengan aksi mengagumkan untuk mencatat kemenangan besar 4-0 ke atas SMK Seksyen 11 dari Selangor di padang sintetik Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Meskipun perlawanan berlangsung lewat hampir dua jam dari waktu sepak mula sebenar disebabkan hujan lebat, ia sedikitpun tidak menjejaskan rentak permainan dan momentum pasukan tuan rumah yang menguasai perlawanan.  

SSM Bukit Jalil yang dibarisi pemain dari Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) membuka jaringan seawal minit kelima menerusi Fahmi Daniel Mohd Zaim, dan mendahului 2-0 sebelum separuh masa pertama tamat menerusi jaringan Izzul Adham Suhaimi.

Tiga minit bersambung babak kedua, Amran Abdul Jamil menanduk masuk gol ketiga SSM Bukit Jalil, sebelum rembatan dari luar kotak penalti Amir Ariffin Zulkifli pada minit akhir melengkapkan kemenangan bergaya 4-0 buat anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail.

Wan Rohaimi memuji corak permainan serta kerjasama sepasukan yang ditunjukkan barisan pemain mudanya yang disifatkannya menunjukkan peningkatan dari perlawanan ke perlawanan.

“Saya cukup berpuas hati, bukan kerana keputusan perlawanan tetapi cara mereka bermain, cara mereka berjuang. Mereka bantu kawan yang lain bila menyerang dan bila bertahan, itu yang penting. Dalam masa sama, kita akan perbaiki mana-mana kesilapan yang wujud.

“Sudah tentu dalam permainan ada buat kesilapan, tapi mereka sentiasa mencuba dan tidak takut untuk buat kesilapan, hasilnya kita dapat empat gol dan saya kagum dengan kesungguhan mereka,” kata bekas pemain kebangsaan itu yang pernah beraksi untuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ini adalah kemenangan keempat buat SSM Bukit Jalil, dan mereka kini mengungguli liga dengan mengumpul 13 mata, berkelebihan satu mata mengatasi SMK Bukit Nenas yang melonjak ke tangga kedua setelah menundukkan pendahulu sebelum ini, SMK Tunku Mahkota Ismail.

Gol tunggal buat pasukan dari Terengganu itu dijaringkan oleh Hafifi Azmi pada masa kecederaan separuh masa pertama.     

Sementara itu, SMK Seri Temerloh juga terus memberi tekanan kepada pendahulu liga apabila menundukkan SMK Tabuan Jaya 1-0, menerusi jaringan tunggal Saiful Jamaludin seminit selepas separuh masa kedua bersambung.  

SMK Seri Temerloh berkongsi 12 mata dengan SMK Bukit Nenas, namun berada di tangga ketiga menerusi beza jaringan.

Dalam satu lagi perlawanan, SMK Putera terus kempunan mencatat kemenangan sulung apabila diikat SMK Za’ba 1-1 di gelanggang lawan – keputusan seri keempat mereka dari tujuh perlawanan.

Pasukan dari Kelantan itu mendahului pada minit ke-10 menerusi Fahrurozi Suhirman namun SMK Za’ba mencuri satu mata hasil jaringan Haizal Heizam pada minit ke-44.

20160430 - LigaKPM U14 - SSM Bukit Jalil (MERAH) vs SSN Selangor (PUTIH)-003
SSM Bukit Jalil (MERAH) vs SSN Selangor (PUTIH)

Dalam pada itu, aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan pula menyaksikan SMK Seri Kota mengambil alih kedudukan pendahulu meskipun sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang SMK Gunung Rapat.

Dengan 10 mata, SMK Seri Kota mengatasi SSM Pahang yang tidak beraksi minggu ini menerusi beza jaringan tatkala SMK Seri Titiwangsa pula melonjak ke tangga ketiga dengan sembilan mata.

SMK Seri Titiwangsa mencatat kemenangan kedua dalam liga dengan menewaskan SMK Datuk Peter Monjuntin 2-0, menerusi jaringan Harez Najmi Hassan dan Tariq Anas Hamizan.

SMK Mutiara Impian dari Pulau Pinang pula kekal menghuni tangga tercorot setelah tunuk 1-2 kepada SMK Tun Hussein Onn.

Gol bagi SMK Tun Hussein dijaringkan Megat  Muhazim Megat Zamry dan Syamil Ikmal Nazri manakala gol saguhati SMK Mutiara Impian dijaringkan Azim Anuar.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Tabuan Jaya (Sarawak)          0

SMK Seberang Temerloh (Pahang) 1

 

SMK Za’ba (N.Sembilan)                1

SMK Putera (Kelantan)                  1

 

SMK Tunku Mahkota Ismail (Johor) 0

SMK Bukit Nenas (Terengganu)      1

 

SSM Bukit Jalil                               4

SMK Seksyen 11 (Selangor)           0

 

 

LIGA PERDANA PIALA MENTERI PENDIDIKAN (B14)

 

SMK Tun Hussein Onn (Johor)        2      

SMK Mutiara Impian (P. Pinang)     1

 

SMK Seri Kota (Melaka)                          0

SMK Gunung Rapat (Perak)           0

 

SMK Datuk Peter Monjuntin (Sabah)       0

SMK Seri Titiwangsa (K. Lumpur)            2

 

SSM Pahang lwn SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah) – Ditunda

- Advertisement -