ATM Guardians melaungkan betapa cabaran mereka dalam saingan Sepaktakraw League (STL) Premier 2018 tidak boleh dipandang enteng apabila meneruskan momentum kemenangan dengan menewaskan Johor Tigris 2-0 di Gem In Mall, di sini.

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat ATM Guardians yang menurunkan tekong kebangsaan Hairul Hazizi Haidzir untuk bergandingan dengan Norfaizzul Razak dan apit kanan veteran Khairuddin Adnan sebagai regu permulaan. 

Trio itu tampil dengan aksi meyakinkan untuk sekali lagi menang straight set 21-18, 21-17 sekaligus memastikan rekod tanpa kalah ATM Guardians masih belum terusik manakala bagi Johor Tigris diketuai Muqlis Borhan pula ini adalah kekalahan ketiga dalam empat perlawanan.

“Ia bukan perlawanan yang mudah sebab Tigris ada pemain dan bekas pemain kebangsaan tetapi pemain saya bermain mengikut perancangan dengan menampilkan permainan menyerang dan kawalan gelanggang yang baik,” kata Aswadi Abdullah, jurulatih ATM Guardians.

Tambah Aswadi, “Kita banyak mendapat mata daripada tekong dan saya juga lega kerana kita akhirnya dapat menurunkan Afifudin (Razali) buat pertama kali dan kehadiran dia menambahkan lagi keseimbangan dalam pasukan.”

ATM Guardians selepas ini akan berdepan dengan pendahulu STL Premier Penang Black Panthers pada Ahad dan Aswadi menganggap peluang pasukannya mengejutkan juara bertahan itu tetap ada walaupun dilihat sukar. 

“Saya yakin ia akan menjadi satu pertembungan sengit, kedua-dua pasukan menang tiga perlawanan pertama dan semua mahu lihat siapa yang akan akhirnya tumbangkan Black Panthers. Mereka adalah pasukan yang kuat dan bagi saya, peluang adalah seimbang, saya harap pemain dapat tunjukkan permainan menghiburkan dan bermain tanpa tekanan, kalau kita dapat tewaskan mereka itu adalah satu bonus,” ujar Aswadi lagi.

Sementara itu dalam satu lagi aksi, KL Thunder bimbingan Azhar Sarabini melebarkan rekod kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut setelah menewaskan PDRM Defenders 2-0.

Trio Aizat Azmi-Azmi Kadir-Hafiz Rahman tidak bermasalah untuk melakar kemenangan mudah 21-16, 21-15 sekaligus menghadiahkan pendatang baru STL Premier itu kekalahan ketiga berturut-turut. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

 

Keputusan (13 Oktober) :

ATM Guardians mng Johor Tigris [2-0 : 21-18, 21-17]

KL Thunder mng PDRM Defenders [2-0 : 21-16, 21-15]

 

- Advertisement -