Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meluahkan rasa kecewa dengan kenyataan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bahawa keengganan mereka untuk bekerjasama sebagai punca wujudnya kesulitan dalam penjualan tiket perlawanan Piala AFF Suzuki 2018.

PSM dalam satu kenyataan pada Rabu lalu mengatakan mereka turut kesal dengan kesulitan yang dialami penyokong dalam urusan pembelian dan penebusan tiket secara atas talian yang tidak begitu efektif melalui Ticket Hotline – syarikat yang dilantik FAM untuk menguruskannya.

Justeru, menurut PSM, urusan pembelian tiket mungkin lebih mudah dan lancar jika menggunakan syarikat dilantik mereka iaitu Seat Advisor yang telahpun terbukti berkesan malah pernah digunakan ketika temasya besar seperti Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 namun mendedahkan FAM enggan bekerjasama mejayakannya di pertandingan dwitahunan ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan punca sebenar mengapa persetujuan kerjasama gagal dicapai antara kedua-dua pihak.

“Tidak wajar PSM mengeluarkan kenyataan seperti itu pada ketika kami (FAM) adalah penyewa setia mereka. Memang diakui, sistem yang digunapakai oleh PSM menerusi khidmat syarikat Seat Advisor adalah lebih baik tetapi ianya tidak boleh dibandingkan dengan sistem yang kami gunakan.

“Kami bukan suka-suka membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PSM tetapi antara faktor utama adalah kos tinggi yang perlu ditanggung oleh penyokong jika penjualan dikendalikan PSM menerusi syarikat lantikan mereka.

“Mereka mengenakan caj tambahan hampir RM3 kepada setiap pembelian bukan sahaja pembelian atas talian, tetapi juga untuk pembelian di kaunter. Kami tidak mengenakan caj untuk pembelian di kaunter. Bayangkan jika kami menjual sebanyak 60,000 tiket dan caj jualan adalah RM3, maka RM180,000 perlu dibayar kepada PSM dan itu adalah satu jumlah yang cukup tinggi.

“Kita tiada masalah untuk bekerjasama tetapi setelah rundingan dibuat, kita gagal untuk mencapai kata sepakat dan kemudiannya tidak wajarlah untuk PSM tiba-tiba menyerang kami secara terbuka. Kalau ikutkan, kami juga merasakan kos penyewaan stadium sedikit mahal tetapi kami tidak kecoh perkara itu kepada umum dan tidak juga memasukkan kos itu ke dalam harga tiket kerana tidak mahu penyokong terbeban,” jelas Stuart sepertimana dipetik dari akhbar tempatan.

Sementara itu, sehingga lewat malam Khamis, lebih dari 40,000 tiket menyaksikan perlawanan terakhir Kumpulan A antara Malaysia dan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini sudahpun terjual.

Malaysia yang berada di tangga ketiga kumpulan turun dengan misi wajib menang jika mahu meneruskan kemaraan ke separuh akhir. Seri atau tewas kepada Myanmar yang sedang menerajui kumpulan akan menyaksikan Harimau Malaya tersingkir daripada saingan.

Kepada penyokong yang masih mencari tiket, boleh membuat pembelian di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula Jumaat di mana tiket akan dijual di Kaunter Tiket Pintu A dan E dari jam 10 pagi.  MUHD AIMAN 

- Advertisement -