Pelumba GP Malaysia, Khairul Idham Pawi bakal kembali ke litar Cub Prix, musim ini. Menjelang pusingan pembuka tirai Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim 2022, nama SuperKIP telah disenaraikan dalam kategori CP150 di bawah pasukan SCK Honda Racing.

Pasukan SCK Honda Racing yang telah menandatangani kontrak bersama Khairul amat mengalu-alukan penyertaannya di kejuaraan Cub Prix.

Kemahiran dan pengalaman Khairul di litar antarabangsa dalam masa yang singkat diharapkan akan memberi dorongan kepada pelumba-pelumba lain dalam pasukan SCK Honda Racing sekaligus memberi peluang untuk memantapkan lagi prestasi mereka pada musim ini.

“Sebagai seorang pelumba professional, kami mempunyai harapan yang tinggi terhadap Khairul. Walaupun ia adalah suatu cabaran bagi Khairul, kami yakin bahawa dengan pengalaman di litar antarabangsa, dia mampu mengatasinya,” jelas Soong Wai Loon, Pengurus Pasukan SCK Honda Racing.

Khairul telah melakar nama sebagai pelumba Asia Tenggara pertama meraih kemenangan dalam perlumbaan Moto3 pada tahun 2016.

- Advertisement -