Kuala Lumpur berhasrat mendapatkan ‘mesin gol’ Liga Indonesia musim lalu, Sylvano Comvalius untuk memperkuatkan jentera serangan, namun ia tidak akan menjadi kenyataan selagi mereka tidak menyingkirkan salah seorang daripada lima pemain import mereka.

Sejak sebulan lalu, nama pemain kelahiran Brazil Junior Aparecido disebut sebagai calon hangat untuk disingkirkan setelah Fabio Maciel tidak begitu berpuas hati dengan sumbangan bekas pemain Sarawak dan Selangor itu malah dia juga tidak diturunkan dalam beberapa aksi terakhir.

Menurut sumber, rundingan antara Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan Aparecido sudah berlangsung lama namun belum ada kata putus dicapai berhubung persetujuan penamatan kontrak.

“Ini bukan soal prestasi semata-mata, yang mana kalau main tak bagus, kita boleh terus buang. Itu cara diktator. Ada peraturan untuk dipatuhi kerana kedua-dua pihak ada kontrak dan perjanjian yang telah dipersetujui. Jadi kita perlu berhati-hati di dalam penamatan kontrak supaya ada situasi win-win bagi kedua-dua pihak.

“Jika dulu kita tak puas hati, kita tamatkan kontrak pemain itu tanpa fikir panjang. Ia babitkan kos tambahan di mana kita perlu bayar pampasan dan adakalanya kita lewat selesaikan pembayaran sehingga ia menjadi isu. Dalam situasi sekarang, kita dikenakan denda dan sekatan perpindahan, kita perlu belajar dari kesilapan.

“Kita sedang bincang kaedah terbaik, kena ikut prosedur yang betul. Kita tidak mahu silap langkah, kelak ia akan jejaskan kewangan persatuan. Jadi kita bincang cara elok dalam masa sama kita harap dia (Aparecido) juga faham dia tidak bermain seperti diharapkan dan bagi kami peluang cari pemain lain,” ujar sumber tersebut.

Untuk rekod, Aparecido hanya beraksi empat perlawanan pertama bagi musim ini dan tidak diturunkan selepas itu. Comvalius yang disebut sebagai calon pengganti, beraksi bersama kelab Thailand, Suphanburi musim ini namun terdesak mahu keluar kerana kurang dapat peluang bermain dengan pasukan itu.

Penjaring terbanyak Liga Super Indonesia 2017 itu juga pernah dikaitkan dengan Kedah sebelum ini namun Lang Merah kini sudah alihkan fokus mereka kepada bekas penyerang Selangor, Paolo Rangel dan Zarko Korac (Kuantan FA).

Empat import lain di dalam skuad warga kota adalah Guilherme De Paula, Paolo Josue, Bobirjan Akbarov dan Achmad Jufriyanto. MUHD AIMAN 

- Advertisement -