Tan Cheng Hoe mengambil tanggungjawab di atas kegagalan skuad Harimau Malaya dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 dengan melepaskan jawatannya sebagai Ketua jurulatih pada hari ini.

Pengumuman tersebut dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi kenyataan media oleh Setiausaha Agung, Mohd Saifuddin Abu Bakar yang menjelaskan Cheng Hoe telah menyatakan hasrat untuk berundur ketika mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan FAM, baru-baru ini.

Perbincangan secara terbuka melibatkan semua sudut telah dilakukan dan FAM akhirnya menghormati dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

“FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya telah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad bawah-20 tahun kebangsaan pada 2005.

“Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Terima kasih. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah berusia 53 tahun itu pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih skuad bawah 20 tahun, bawah 23 tahun dan Harimau Muda A, sebelum gandingan mantap selaku penolong jurulatih kepada Datuk K. Rajagobal menyaksikan Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Cheng Hoe membuktikan kredibilitinya apabila membantu skuad Lang Merah muncul juara Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Cheng Hoe kemudian kembali ke FAM pada 2017 selaku penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada, sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada penghujung tahun sama.

Sebagai pengendali Harimau Malaya, beliau berjaya corak permainan skuad kebangsaan sehingga muncul naib juara Piala AFF 2018 dan meletakkan pasukan di kedudukan terbaik dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019, sebelum cabaran pandemik COVID-19 menganggu jadual kejohanan itu.

Saingan Piala AFF 2020 yang bermula pada 5 Disember 2021 hingga 1 Jan lalu, skuad kendalian Cheng Hoe gagal mara ke separuh akhir apabila menamatkan kempen di kedudukan ketiga berikutan kekalahan 3-0 kepada Vietnam dan 4-1 kepada Indonesia dalam aksi Kumpulan B, selain mencatatkan kemenangan 3-1 dan 4-0 masing-masing ke atas Kemboja dan Laos.

 

- Advertisement -