Saingan Terbuka India yang akan berlangsung dari 11 hingga 16 Januari depan akan menjadi kejohanan pertama buat gandingan bergu campuran negara, Chan Peng Soon – Valeree Siow yang akan digandingkan bersama bagi tahun 2022.

Chan Peng Soon memutuskan untuk kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana masih mahu beraksi di pentas Olimpik.

Jelas Peng Soon, sesi latihan bersama Valeree tampak menunjukkan peningkatan yang positif namun kejohanan pertama yang akan disertai di New Delhi akan menjadi kayu ukur prestasi kedua dua pemain ini.

Chan Peng Soon telah menjalani latihan bersama sama Valeree di Akademi Badminton Malaysia (ABM) lebih seminggu dan mengakui belum cukup cergas memandangkan berlatih dengan pemain pemain muda yang jauh lebih pantas.

Pemenang pingat perak sukan Olimpik di Rio pada 2016 bersama sama Goh Liu Ying ketika itu juga menjelaskan umur Valeree bukan soal utama yang perlu difikirkan sebaliknya kedua dua pemain perlu berusaha keras untuk membentuk keserasian dan saling memahami diantara satu sama lain ketika digelanggang.

Beliau juga memberi tumpuan terhadap tugasnya sebagai pemain meskipun perlu memberi tunjuk ajar dan mencurah pengalaman yang dimiliki memandangkan beliau merupakan pemain paling senior dalam kem badminton BAM.

Peng Soon – Valeree akan turun selaku pilihan kelima dan akan memulakan saingan Terbuka India menentang wakil tuan rumah, Raju Mohamed Rehan – Jamaludeen Anees Kowsar.

Selain Peng Soon – Valeree, wakil negara yang turut beraksi dalam acara bergu campuran, Tan Kian Meng – Lai Pei Jing, dan Chen Tang Jie – Peck Yen Wei.

- Advertisement -