Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah murka dengan tindakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang mendesak agar Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan dengan membangkitkan isu-isu yang remeh dan tidak munasabah.  

Baginda yang merupakan Presiden FAS menyatakan ada pihak tidak selesa dengan perubahan yang sedang rancak dilakukan oleh persatuan itu sejak tiga bulan lalu termasuklah menutup peluang melakukan ketirisan, merombak jawatankuasa kecil yang tidak efektif dan menyoal perkara-perkara yang terdapat keraguan.

Dengan menyifatkan usaha yang giat digerakkan segelintir individu untuk merombak keseluruhan barisan exco FAS ini sebagai cubaan rampasan kuasa demi kepentingan peribadi, Tengku Amir menegaskan baginda tidak bersetuju dengan cadangan EGM itu diadakan.

“Beta tidak memahami mengapa rombakan perlu dilakukan apabila kerja baru sahaja dimulakan, lebih-lebih lagi apabila sebab yang diberikan itu amat lemah. Akan tetapi Beta tidak menyalahkan ahli gabungan kerana Beta percaya mereka telah dimanipulasi, ditipu malah diugut beberapa individu untuk menandatangani memorandum tersebut.

“Individu-individu ini adalah serigala berbulu domba, penuh dengan kepentingan diri sendiri dan bukannya mahu bekerjasama demi kemajuan FAS,” kata Tengku Amir yang mengambil alih pucuk pimpinan FAS daripada Datuk Seri Subahan Kamal pada Julai lalu dalam satu kenyataan rasmi.  

Tengku Amir turut menyelar tindakan individu-individu tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan menggunakan perlembagaan FAS yang telah diolah untuk melindungi diri sendiri.

“Sebagai contoh, sebab-sebab yang diutarakan untuk mengadakan EGM langsung tidak munasabah tetapi EGM tersebut masih boleh diteruskan dan perkara ini adalah tidak masuk akal.

“Beta juga berasa amat dukacita kerana Beta telah cuba menyelesaikan perkara ini di belakang tabir tetapi sekarang kita dapat lihat secara jelas mereka tidak hendak berbuat demikian. Beta juga terkilan kerana masa ini sepatutnya digunakan untuk meneliti dan merancang persiapan musim hadapan, termasuk mencari penaja bagi menambah dana persatuan.

“Sebaliknya, langkah tidak bertanggungjawab ini menyebabkan masa orang-orang yang jujur dan bekerja keras demi FAS terbuang begitu sahaja. Tambahan pula, Beta murka apabila terdapatnya ahli exco yang menyokong pergerakan EGM ini secara terbuka walaupun ianya bukan pendirian majoriti ahli exco termasuk Beta,” katanya.

Sports 247 sebelum ini melaporkan bahawa 67 daripada 96 ahli gabungan FAS telah menandatangani dan menyerahkan memorandum agar EGM dipanggil kepada Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff yang bertindak sebagai jurucakap kepada semua ahli gabungan itu berkata antara sebab EGM itu perlu dibuat adalah kerana pelantikan dua Naib Presiden FAS iaitu Mohd Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan kerana mereka bukan ahli di dalam kelab-kelab gabungan.

Malah Roslin juga mendakwa hak, peranan dan kepentingan ahli gabungan diketepikan termasuklah menerusi pemecatan 55 wakil kelab gabungan dari menganggotai Jawatankuasa Tetap FAS tanpa sebab munasabah.

FAS bagaimanapun telah mengeluarkan kenyataan menafikan segala dakwaan tersebut dan menganggap tohmahan tersebut bertujuan menjejaskan keharmonian dan memecahbelahkan FAS. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -