Tuan rumah Thailand memulakan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan mengungguli kedudukan pingat selepas hari pertama saingan, dengan Malaysia meraikan pingat emas pertama menerusi persembahan bertenaga skuad Hoki 5 Sebelah negara.

Malaysia mempamerkan aksi bertenaga untuk menewaskan Indonesia 7–3 pada perlawanan akhir, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama buat Team MAS sebagai suntikan semangat buat kontinjen pada hari pembukaan.

Ketua jurulatih, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman, memuji konsistensi pemain sepanjang kempen, khususnya dalam perlawanan peringkat kumpulan.

“Para pemain melaksanakan strategi dengan baik serta menunjukkan ketenangan dengan menyerap tekanan dan serangan Indonesia. Dengan pencapaian ini, saya berharap sukan Hoki 5s ini terus berkembang dan diperkasakan lagi di Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, skuad wanita gagal mengikut jejak langkah skuad lelaki setelah tewas 1–7 kepada Thailand dalam aksi final di Stadium Hoki RTAF, sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Usai hari pertama, kontinjen Malaysia menduduki tangga keenam bersama Filipina dengan 2 pingat emas, 2 perak (berpasukan badminton lelaki dan Hoki 5s wanita) serta 9 gangsa menerusi acara badminton (berpasukan wanita), kanu, pĂ©tanque, polo, chinlone (2), renang dan taekwondo.

Seperti dijangka, Thailand muncul pasukan paling dominan selepas memenangi 19 daripada 38 pingat emas yang dipertandingkan dengan pencapaian emas dalam badminton (berpasukan wanita), kanu (3), catur, berbasikal bukit (2), Hoki 5s (wanita), ju-jitsu duo klasik (2), ju-jitsu fighting (3), pĂ©tanque, polo, sepak takraw (2), renang dan taekwondo.

Indonesia dan Singapura masing-masing mengekori di tempat kedua dengan 5 emas diikuti Vietnam (4) dan Myanmar (2).

Hari pertama turut menyaksikan drama luar gelanggang apabila Kemboja secara rasmi menarik diri sepenuhnya daripada temasya ini dengan alasan kebimbangan terhadap keselamatan atlet mereka ekoran ketegangan tentera di sempadan Thai–Kemboja.

Begitu pun, temasya tetap meriah dengan pembukaan rasmi gemilang malam tadi di Stadium Nasional Rajamangala yang disempurnakan Raja Maha Vajiralongkorn. Seramai 12,000 atlet dari rantau Asia Tenggara memburu 574 pingat emas dalam 50 acara sukan pada temasya kali ini.

Saingan hari kedua (Khamis, 12 Dis) akan menyaksikan sembilan pingat emas dipertandingkan dalam Olahraga, Bola Keranjang 3×3 (lelaki & wanita – 2 emas), Biliard (perseorangan lelaki), Canoe (5), Berbasikal Bukit Merentas Desa (1), Sukan Air Ekstrem Ski–Wakeboard (3), Gimnastik (5 emas), Ju-jitsu (4), Judo (2), Karate (4), Seni Bela Diri Campuran (6), Snuker (berpasukan wanita), Renang (7 emas) serta empat emas dalam acara taekwondo.

- Advertisement -