pemain-sapura-gurbaj-singh-kiri-mengasak-pemain-klhc-meor-azuan-hassan-dalam-aksi-separuh-akhir-piala-tnb

Oleh Muhammad Aiman

Terengganu Hockey Team (THT) hanya selangkah sahaja lagi untuk mempertahankan kejuaraan Piala TNB buat kali ketiga berturut-turut setelah berpesta gol menewaskan Maybank 8-4 dalam aksi separuh akhir kedua di Batu Buruk dan melangkah ke final dengan agregat 14-5.

Skuad bimbingan Sarjit Singh itu yang menang 6-1 dalam aksi pertama, mendahului 1-0 di separuh masa pertama menerusi jaringan padang Nicolas Enrique Della Torre pada minit kelapan sebelum tujuh lagi jaringan menyusul di separuh masa kedua.

Pemain import dari Korea, Jang Jong Hyun paling cemerlang apabila menjaringkan hatrik, Faizal Shaari menjaringkan dua gol manakala Fitri Shaari dan Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil masing-masing menyumbang satu gol untuk melengkapkan kemenangan bergaya THT.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Sapura berdepan detik cemas sebelum mengetepikan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 4-2 menerusi penentuan penalti.

Sapura yang membawa kelebihan dua gol hasil kemenangan 3-1 pada aksi pertama, hampir ditunjukkan jalan keluar apabila KLHC tampil dengan permainan lebih betenaga untuk mencatat kemenangan dramatik 3-1 dan mengikat kedudukan agregat 4-4 di Stadium Hoki Jalan Pantai.

Dalam aksi yang menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, KLHC mendahului pada minit ke-10 menerusi Ali Shah sebelum Sapura mengikat kedudukan 1-1 lima minit kemudian menerusi Khairul Ikhwan Shabudin.

Pemain import dari Korea Selatan, Hyun Nam Woo menjaringkan dua gol untuk memastikan kemenangan buat KLHC sekaligus menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi pukulan penalti.

Philip Ross Burrows, Oscar William Wookey, Gurbaj Singh dan Faiz Helmi Jali menyempurnakan penalti buat Sapura dan membawa skuad bimbingan Yahya Atan layak ke aksi final Piala TNB pertama mereka sejak 2006.

ā€œSetelah mereka mendahului, keadaan menjadi sukar bagi kami. Pemain-pemain mahu segera menjaringkan gol tetapi tidak bermain mengikut arahan. Di separuh masa kedua, kami bermain lebih baik, menguasai bola dan mencipta peluang cuma gagal menjaringkan gol. Saya rasa kedua-dua pasukan bermasalah untuk menjaringkan gol,ā€ kata Yahya.

Aksi final antara THT dan Sapura akan berlangsung pada Ahad dengan masing-masing mencari kejuaraan berganda bagi tahun ini.

THT mengecewakan Sapura untuk merangkul kejuaraan Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia pada minggu lalu manakala Sapura pula menjulang Piala Tan Sri P.Alagendra setelah menewaskan Tenaga Nasional Berhad dalam aksi final pada 13 September lalu.

- Advertisement -