Tiada sebarang kejutan disaksikan dalam aksi pusingan kedua Piala FA yang berakhir pada Ahad, dengan kesemua pasukan pilihan berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga.

Melaka dan Marcerra Kuantan FA paling bergaya apabila masing-masing mencatat kemenangan besar 7-0 ke atas pasukan bukan liga.

Melaka menundukkan Southern FC 7-0 di Stadium Hang Jebat menerusi dua jaringan Yahor Zubovich pada minit ke-13 dan 26, serta satu masing-masing oleh Farderin Kadir, R.Gopinathan, Azmi Muslim, Nurshamil Ghani dan Fauzi Roslan.

Kuantan FA bimbingan Ismail Zakaria pula menjinakkan Axis O2 FC 7-0 menerusi jaringan hatrik Zarko Korac dan satu gol masing-masing oleh Andre Francisco, Muhammad Azmi, Murilo Ribeiro dan Abdul Manaf Mamat.

Finalis musim lalu, Pahang mengetepikan tentangan sengit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Darulmakmur, Kuantan. Gol dijaringkan oleh Norshahrul Idlan Talaha dan Safwan Baharudin manakala ATM membalas menerusi Zaironi Yusof.

Juara lima kali, Selangor mara dengan menewaskan MOF FC 3-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, menerusi tiga jaringan dalam tempoh 20 minit terakhir oleh Amri Yahyah, Rufino Segovia dan Syahmi Safari.

Di Stadium Shah Alam, Zainal Abidin Hassan memacu Pulau Pinang untuk melakar kemenangan pertama dalam tiga kemenangan dengan menewaskan PDRM 3-1 menerusi dua jaringan Ken Ilso Larsen dan satu oleh Kang Seung Jo.

Kemenangan itu juga membantu harimau kumbang membalas dendam kekalahan tipis 0-1 kepada lawan sama dalam aksi Liga Premier pada minggu lalu.

UKM FC muncul pasukan terakhir mengesahkan tempat di pusingan ketiga setelah menundukkan MIFA 4-2 menerusi tendangan penalti. Kedudukan masa sebenar 90 minit dan 30 minit masa tambahan menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

MIFA mendahului menerusi Kpah Sherman di separuh masa pertama sebelum UKM FC menyamakan kedudukan pada masa kecederaan menerusi Atuheire Kipson.Ā  – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -