Oleh Muhammad Aiman

Status selaku pasangan beregu lelaki nombor satu dunia tidak menjanjikan laluan mudah buat Goh V Shem dan Tan Wee Kiong di Kejohanan Badminton All England yang akan berlangsung di Birmingham dari 7-12 Mac depan.

Setelah tidak beraksi di Grand Prix Masters Malaysia di Sibu bulan lalu gara-gara kecederaan bahu dialami Wee Kiong, All England yang merupakan kejohanan pembuka tirai dalam kalendar SuperSeries tahun ini akan menjadi penampilan pertama buat gandingan itu sejak memenangi Pusingan Akhir SuperSeries Dunia pada Disember lalu.

Menerusi undian yang dikeluarkan semalam, V Shem dan Wee Kiong yang kandas di peringkat separuh akhir tahun lalu akan memulakan misi memburu gelaran All England mereka yang pertama dengan menentang gandingan Jepun di kedudukan 18 dunia, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Beregu China yang baru digandingkan, Liu Xiaolong-Xu Chen pula menanti di pusingan kedua dan seandainya berjaya mengelak sebarang kejutan, V Shem-Wee Kiong kemudiannya dijangka bertemu Li Junhui-Liu Yu Chen di peringkat suku akhir.

Kali terakhir gandingan dari Malaysia muncul juara All England adalah pada 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong manakala pada 2011 gandingan tersebut tewas di final kepada Mathias Boe-Carsten Morgensen.

Satu lagi pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang berada di ranking ke-26 dunia, turut dihadiahkan undian sukar.

Mereka akan berdepan Lu Chin Yao-Yang Po Han dari Taiwan di pusingan pertama dan seandainya menang, akan berdepan pula pasangan nombor lapan dunia dari Denmark, Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding di pusingan kedua.

Dalam pada itu, bagi acara perseorangan lelaki, kelibat jaguh badminton nombor satu dunia, Dato’ Lee Chong Wei sah tidak dapat disaksikan setelah namanya digugurkan pada saat akhir pendaftaran pemain kerana kecederaan.

Satu-satunya wakil negara bagi perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkifli pula perlu berada pada prestasi terbaik kariernya andai mahu teruskan kemaraan setelah diundi bertemu juara bertahan yang juga juara All England enam kali, Lin Dan di pusingan pertama.

Ia akan menjadi penampilan pertama juara dunia lima kali itu di pentas antarabangsa sejak kekalahan di Sukan Olimpik Rio De Janeiro, Ogos tahun lalu.

Bagi beregu campuran pula, gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing diramal tidak akan bermasalah untuk mara setidak-tidaknya ke peringkat suku akhir.

Seandainya berjaya menepati ramalan, Peng Soon-Liu Ying yang diletakkan sebagai pilihan keenam dijangka berdepan pasangan nombor satu dunia Zheng Siwei-Chen Qingchen manakala Kian Meng-Pei Jing yang merupakan pilihan kelapan dijangka berdepan juara bertahan Praveen Jordan-Dabby Susanto untuk merebut tempat di separuh akhir.

- Advertisement -