Oleh Muhammad Aiman

Pemain skuash negara, Sanjay Singh Chal mahu menjadikan Kejohanan Skuash Asia Tenggara (Piala SEA) yang sedang berlangsung di Kuching ketika ini sebagai batu loncatan untuk memperkasakan gandingannya bersama Rachel Arnold dalam acara beregu campuran.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini bergandingan bersama bekas pemain perseorangan wanita, Delia Arnold – kakak kepada Rachel, di mana mereka muncul juara Terbuka Beregu Malaysia pada Disember lalu.

Begitupun, dengan Delia sudahpun bersara, Sanjay kini membentuk gandingan dengan Rachel namun masing-masing memperagakan permulaan agak goyah dalam gandingan sulung mereka sebelum mencatat kemenangan 10-12, 11-1, 11-3 ke atas gandingan Indonesia, Ade Furqon-Catur Yuliana di peringkat suku akhir di Pusat Skuash Kuching pada Selasa.

Menurut Sanjay, “Kami masih sedang cuba memahami cara permainan masing-masing, sudah tentunya bermain bersama Rachel berbeza kerana dia seorang pemain yang bermain menyerang.

“Apapun saya percaya ia tidak menjadi satu masalah untuk kami cepat serasi, kami banyak berkomunikasi di luar dan dalam gelanggang. Kejohanan ini memberikan kami ruang untuk meningkatkan sebaik mungkin apa yang masih kekurangan.”

Sanjay dan Rachel, kedua-duanya pemenang pingat emas acara perseorangan di Sukan Sea Singapura 2015, selepas ini akan berdepan pula pilihan ketiga dari Filipina, David Felino-Jemica Aribado di peringkat separuh akhir.

Satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan gandingan negara Syafiq Kamal-Aifa Azman dan Pang Ka Ho-Mao Shi Hui dari Singapura.

Selain beregu campuran, Sanjay turut cemerlang dalam beregu lelaki di mana dia bergandingan dengan Adeen Idrakkie menewaskan pasangan Indonesia, Eris Setiawan-Syauma Siswa Utama 11-6, 11-6 di peringkat suku akhir.

Mereka yang merupakan pilihan kedua akan berdepan Ka Hoe-Timothy Leong dari Singapura di separuh akhir manakala pilihan utama, Syafiq-Ng Eain Yow pula meneruskan kemaraan setelah menjinakkan Lydio Espinola-Reymark Begonia 11-0, 11-3.

- Advertisement -