Jurulatih berpengalaman negara, Irfan Bakti, menggesa TM Piala Malaysia wajar diteruskan pada musim ini kerana melihat masih ada banyak pilihan buat Malaysian Football League (MFL) dalam memastikan semua perlawanan membabitkan 16 pasukan dapat berjalan seperti dirancang.

Beliau juga bersetuju dengan pendekatan format yang akan digunakan MFL kerana menjimatkan masa selain sebagai satu keperluan kesan daripada penularan COVID-19 yang membuatkan Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan selama lima bulan.

Tambahnya, Piala Malaysia pada musim ini juga begitu penting kerana pemenangnya bakal mendapat salah satu slot di kejohanan Piala AFC pada tahun 2021.

“Tidak wajar Piala Malaysia dibatalkan pada musim ini kalau ikut pandangan saya, kes COVID-19 ini bukannya merebak seluruh negara lagi dan hanya beberapa negeri sahaja dikenakan sekatan seperti PKPB.

“Jadi pilihan lain masih ada dengan memilih venue yang tidak banyak kes atau tidak dikenakan PKPB seperti negeri-negeri di Pantai Timur seperti Pahang, Terengganu atau Kelantan sebagai contoh.

“Format baharu yang akan dibawa oleh MFL juga bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana hanya empat perlawanan sahaja maksimum akan dilalui mana-mana pasukan yang akan ke perlawanan akhir.

“Harus diingat, saya rasa pasukan pasti lagi bermotivasi mahu menjuarai Piala Malaysia kerana bakal menawarkan tempat ke Piala AFC pada tahun depan.

“ Amat rugi jika Piala Malaysia dibatalkan kerana ini merupakan kejohanan bola sepak paling tua yang kita pernah ada dan hanya tidak boleh dilangsungkan semasa Perang Dunia Kedua satu masa dahulu,” katanya.

Undian TM Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 1 November ini dengan perlawanan pusingan pertama bermula pada 6, 7 dan 8 November manakala suku akhir pada 12 dan 13 November disusuli separuh akhir pada 17 November dan final pada 22 November.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan sebelum ini menjelaskan pasukan yang berpengkalan di Lembah Klang seperti Selangor, Kuala Lumpur, UiTM FC dan PJ City FC perlu bermain di venue luar Lembah Klang berikutan lanjutan PKPB sehingga 9 November ini.

Dalam pada itu, Irfan berkata, Piala Malaysia tidak boleh ditangguhkan lagi sehingga ke Disember bagi memberi ruang kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) yang bakal bermain di Liga Juara-juara AFC.

JDT akan bermain dalam empat perlawanan Kumpulan G Liga Juara-juara AFC yang bermula 19 November ini sehingga 4 Disember ini membabitkan dua aksi dengan Guangzhou Evergrande.

“Ini lagi satu faktor yang perlu diambil kira jika mahu Piala Malaysia dijalankan iaitu kena mulakan secepat mungkin kerana JDT perlu berikan perhatian kepada Liga Juara-juara.

“Jadi kalau bermula lewat, sukar juga kepada JDT berikan tumpuan kepada kedua-dua kejohanan yang dijalankan serentak dan saya rasa tarikh yang dicadangkan oleh MFL sudah cukup sesuai,“ katanya.

- Advertisement -