Rico Zulkarnain

Presiden Kuantan Rangers, YAM Tengku Fahad Muadzam Shah berpendapat sudah tiba masanya arena futsal tempatan diwarnai dengan kehadiran pemain-pemain import untuk menyuntik lebih kemeriahan terhadap sukan tersebut.

Menurutnya ini satu langkah efektif boleh diambil Persatuan Bolasepak Malaysia sebagai badan induk dalam usaha membawa sukan futsal tanah air ke peringkat lebih tinggi terutama memperkenalkannya kepada peminat global apatah lagi sukan itu semakin mendapat perhatian dan menunjukkan peningkatan.

“Langkah ini telah dipraktikkan di Liga Futsal Indonesia (sebagai contoh), dan kita boleh lihat kualiti futsal dan nilai liga mereka yang melonjak naik. Bintang-bintang futsal yang mereka tarik telah berjaya mengetengahkan arena futsal mereka ke peringkat global, dan ia turut memberi impak kepada pembangunan bakat muda.

“Pemain-pemain muda boleh belajar dalam masa sama ini akan menjadikan Liga Futsal Kebangsaan sebagai satu liga yang lebih kompetitif dan berkualiti. Tidak pelu banyak, dua slot sudah memadai. Kita semua mahu melihat arena futsal negara terus bersinar dan menunjukkan peningkatan, satu hari nanti dapat menjadi gergasi Asia, jadi saya fikir ia wajar dipertimbangkan,” katanya.   

Untuk rekod, Kuantan Rangers sendiri telah membawa masuk salah seorang pemain terbaik dunia, Rico Zulkarnain ke dalam skuad mereka dalam kontrak pendek selama dua bulan pada tahun lalu, dan kehadiran Rico telah banyak memberi ilmu berguna kepada pemain-pemain muda pasukan itu.

Rico adalah pemain kebangsaan Wales dan penjaring gol terbanyak negara itu – dalam tempoh pendek dia bersama kelab tersebut, dia telah membantu Kuantan Rangers untuk menjuarai Liga Futsal Brunei pada Ogos 2017.

Namun memandangkan saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) tidak membenarkan penggunaan pemain import, pemain itu kemudiannya berhijrah ke India untuk menyarung jersi Mumbai Warriors bersama Ryan Giggs dan baru dua minggu lalu menyertai sebuah kelab di Liga Futsal Perancis.

“Bayangkan seorang pemain terbaik dunia, dikenali seantero dunia seperti Rico datang bermain di negara kita dan impak yang telah dibawanya itu. Saya percaya kehadiran import berkualiti adalah elemen penting menjadikan sukan futsal kita ini lebih baik, dari segi prestasi dan dari segi nilai komersial LFK,” tambahnya.

Dalam pada itu, menjelang aksi minggu kedua LFK 2018 yang bersambung pada Isnin, Tengku Fahad mengharapkan pasukan itu akan bangkit daripada permulaan hambar di minggu pertama untuk melakar kemenangan pertama.

Namun, beliau sedar ia bukan tugas mudah kerana lawan yang menanti adalah juara bertahan, Melaka disusuli Terengganu FC pada Selasa justeru mahu pemainnya menunjukkan satu semangat luar biasa untuk memburu tiga mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -