Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) melalui Jawatankuasa Pertandingan telah menetapkan tarikh penganjuran kejohanan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2021, Premier dan Wanita adalah pada 11 Mac hingga 3 April 2021, selepas mendapat kelulusan daripada Kerajaan Malaysia menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menganjurkan Kejohanan tersebut.

Kejohanan TNB MHL 2021 akan dilangsungkan secara berpusat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh MKN juga KBS selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk kejohanan dilangsungkan secara gelembung sukan.

Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil kekal selaku venue kejohanan dengan saingan bagi kategori Premier akan bermula pada 11 Mac sementara kategori Wanita pula akan memulakan saingan pada 15 Mac selain acara final bagi kedua-dua ketegori akan berjalan serentak pada 3 April 2021.

Pengumuman tarikh baru kejohanan tersebut telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pertandingan KHM menerusi Pengerusi mereka, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh, pada satu sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM, hari ini.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia, MKN, KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) atas kelulusan yang diberikan untuk memulakan latihan bagi pasukan yang akan bersaing dalam TNB MHL 2021 termasuk kebenaran penganjuran kejohanan ini.

“Kejohanan akan dijalankan secara gelembung sukan dan setiap pemain, pegawai serta individu yang terlibat secara langsung akan ditempatkan pada satu tempat di mana mereka akan mula mendaftar masuk beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

“Pemain serta pegawai juga diwajibkan untuk melakukan ujian calitan Covid-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum mendaftar masuk ke penempatan khas yang telah disediakan serta menghantar keputusan ujian tersebut kepada KHM untuk kami pastikan semua yang terlibat bebas daripada Covid-19.

“Selepas mendaftar masuk, tiada siapa dibenarkan untuk keluar daripada pusat penempatan tersebut sepanjang kejohanan kecuali kes-kes kecemasan seperti kematian dan beberapa perkara yang memerlukan pertimbangan untuk mendapat pelepasan.

“Sepanjang tempoh kejohanan juga, KHM akan melakukan ujian calitan Covid-19 (RTK-Antigen) untuk kami memantau keadaan kesihatan pemain dan ia juga bagi memastikan semuanya dalam keadaan terkawal,” jelasnya.

Sebelum ini TNB MHL 2021 yang dijadualkan bermula pada 14 Januari sehingga 20 Februari bagi kategori Premier dan Wanita terpaksa ditunda selepas Kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 13 Januari lalu.

KHM dalam pada itu akan terus bergerak seiring dengan saranan yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia termasuk, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) MKN, serta KBS, dalam memastikan keselamatan semua pihak selain usaha untuk memutuskan penularan wabak Pandemik Covid-19 yang kini cukup membimbangkan.

- Advertisement -