Beroperasi secara sepenuhnya pada awal 2017, pasukan basikal lebuhraya berstatus benua, Sapura Cycling (TSC) punya formula tersendiri untuk menempa nama dalam arena sukan berbasikal di Malaysia khususnya.

Dibawah seliaan Sayuti Zahit selaku Pengurus Besar TSC, pasukan ini dilihat antara pesaing terdekat bagi pasukan yang berpengkalan di pantai timur, Terengganu Cycling (TSG).

Membariskan pelumba pelumba tempatan yang dilabel ‘kurang menyerlah’, barisan kejurulatihan TSC menggilap semula bakat bakat muda ini menerusi latihan intensif ‘tanpa belas kasihan’.

“Pasukan ini mempunyai matlamat, dan hanya yang komited sahaja akan dipilih, tiada istilah sambil lewa kerana ia akan merugikan pasukan,”kata Sayuti Zahit

TSC memulakan musim 2017 dengan beberapa perlumbaan di eropah seperti Sepanyol, Portugal dan Itali sebagai pendedahan awal.

Bukan keputusan yang dikejar, namun latihan menerusi penyertaan pertandingan nyata memberi impak apabila pelumba kelahiran Colombia, Wilmar Jahir Perez menduduki tangga kedua keseluruhan kategori Raja Bukit (King of Mountain) saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2017.

Prestasi pelumba berusia 31 tahun ini tidak terhenti di LTdL 2017 apabila terus menaiki podium selaku tiga pelumba terbaik bagi kategori pendakian di Tour de Lombok, , Jelajah Malaysia dan Tour de Singkarak.

Malah, dua pelumba ini boleh diibarat sebagai nadi TSC apabila menjadi tunjang dalam meletakkan nama TSC selaku juara keseluruhan bagi kategori pasukan ketika di Jelajah Malaysia.

Kejayaan Wilmar Perez dibantu rakan senegara yang tidak asing lagi dalam saingan jelajah berbasikal di Malaysia, Victor Nino Corredor yang turut menggalas peranan sebagai pakar pendaki bagi TSC.

Dua nama ini seringkali menjadi tumpuan di saingan jelajah berbasikal bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia sebagai pencabar pencabar bagi klasifikasi pendakian.

Disebalik kehadiran dua nama ini, TSC berjaya melahirkan pelumba tempatan yang dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh dalam arena berbasikal negara.

Seringkali nama nama seperti Anuar Manan, Harrif Salleh, Mohd Adiq Hussaini Othman dan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi, kali ini TSC ‘melahirkan’ Muhammad Zawawi Azman.

Penampilan sulungnya dalam berbasikal lebuhraya bermula pada 2013 dimana pelumba berusia 23 tahun ini menyertai skuad pelapis kebangsaan sehingga 2016.

Pencapaian terbaik pelumba kelahiran Perak ini pada 2016 dimana beliau menjuarai peringkat ke empat Jelajah Malaysia 2016 dari Machang ke Gong Badak selain menduduki tangga kedua keseluruhan bagi kategori peumba terbaik Malaysia.

2017, Zawawi yang senang dengan gelaran Awie memilih TSC sebagai destinasi baru bagi mengembangkan kariernya sebagai pelumba basikal.

“Saya hantar resume selepas menyertai Jelajah Malaysia 2016 dan Sayuti panggil untuk sertai pasukan ini,”kata Zawawi.

Pengalaman daripada pelumba pelumba luar negara banyak membantu Awie untuk memperbaiki kelemahan diri samada latihan atau ketika perlumbaan.

“Displin adalah perkara utama yang perlu diberi penekanan. Pemakanan perlu betul dan kebiasaannya Perez dan Victor akan memberi tunjuk ajar kepada saya jika ada perkara yang memerlukan penambahbaikan,”kata Zawawi lagi.

Perlumbaan di Sepanyol, dan Portugal jelas memberi gambaran awal betapa besar jurang diantara perlumbaan di benua Asia dan Eropah meskipun dalam kategori yang sama.

Bagi Zawawi, keputusan bukan fokus utama, tetapi mencari pengalaman dan mendapatkan teknik yang betul serta mengikuti perancangan yang ditetapkan.

“Latihan selama dua bulan di negara Eropah, saya tidak banyak menjalani latihan, tetapi banyak menyertai perlumbaan kerana bentuk muka bumi yang berbukit, dan jalan yang sempit memberi pengalaman yang berbeza untuk saya,”tambahnya lagi.

2017 menoktahkan satu kenangan manis buat Zawawi apabila menyertai 12 perlumbaan dalam dan luar negara dengan jarak kayuhan keseluruhan lebih 7200 kilometer.

Tour de Molvccas (2.2) menyaksikan Awie menaiki podium selaku naib juara bagi kategori Raja Bukit.

Karienya semakin mantap apabila menaiki podium selaku juara peringkat pertama Jelajah Selangor (2.2) dari Petaling Jaya ke Kuala Selangor.

Labih membanggakan, Awie sekali lagi menaiki podium selaku penyarung jersi juara keseluruhan (General Classification).

Kekecewaan di Sukan SEA ke 29 sedikit sebanyak terubat, namun ia bukan penamat bagi segalanya.

2018 menjanjikan pelbagai cabaran yang getir buat pelumba dan pasukan Sapura Cycling kerana beberapa kejohanan bakal menawarkan mata kelayakan untuk ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun.

TSC juga sah mendapatkan pelumba Terengganu Cycling (TSG) Adiq Hussaini Othman bagi memperkukuhkan lagi barisan pelumba musim 2018.

Bagi Sayuti, tujuh perlumbaan sepanjang 2018 menjadi fokus utama antaranya Jelajah Indonesia yang merupakan perlumbaan pertama mereka bagi tahun depan selain persiapan untuk LTdL 2018 yang dijangka bermula pada Mac selain Sukan Asia di Indonesia.

Selain di Indonesia, pasukan Sapura Cyling bakal berlumba di Turki, Jepun, Australia, Sri Lanka dan China.

Bukan mudah untuk membentuk pasukan berstatus benua (divisyen 3) dalam ranking Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) selepas Pro Benua dan Pro Tour.

sumber : (http://www.uci.ch/mm/Document/News/Rulesandregulation/17/73/59/2-ROA-20160622-E_English.PDF) halaman 175

Pasukan berstatus benua perlu sekurang kurangnya mempunyai lapan hingga 16 pelumba dan perlu memilik jaminan bank 15 peratus daripada kontrak pelumba pelumba dan kaki tangan pasukan itu atau minimum 20 000 Euro.

 Pendaftaran mengikut status pasukan bertujuan untuk membolehkan pasukan yang berdaftar dibawah UCI untuk mengambil bahagian di dalam perlumbaan mengikut kategori yang telah ditetapkan. – OLEH KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -