Oleh Muhammad Aiman

Ketika di Sukan Sea Singapura 2015, Ooi Tze Liang menjadi atlet Malaysia paling cemerlang dengan menyumbangkan empat pingat emas, malah menjadi penerjun pertama dalam sejarah temasya dwitahunan itu untuk menyapu bersih kesemua pingat emas yang ditawarkan.

Setelah cemerlang dalam acara 3m dan 10m platform, Tze Liang kemudiannya berpasangan dengan Ahmad Amsyar Azman untuk memenangi emas 3m papan anjal seirama sebelum mengungguli acara 10m platform seirama berpasangan dengan Chew Yi Wei.

Namun, penerjun berusia 23 tahun itu, tidak mahu terlalu menekan dirinya untuk mengulangi pencapaian itu dan menyumbang lebih dari kemampuannya kali ini, apabila Sukan Sea berlangsung  di Kuala Lumpur dari 19 – 31 Ogos depan.

Memberi tumpuan kepada terlalu banyak acara, nyata membawa kesan kepada Tze Liang. Dia kerap dibelenggu kecederaan sepanjang tahun lalu sehingga tidak dapat memberi persembahan terbaik di Sukan Olimpik Rio De Janeiro.

“Saya telah menjalani pembedahan tulang keting di kedua-dua kaki kiri dan kanan selepas Rio. Ketika ini masih dalam proses pemulihan dan ia satu situasi sukar untuk saya lalui. Buat masa ini saya hanya cergas sekitar 80 peratus sahaja, tapi saya optimis akan berada dalam tahap terbaik menjelang Sukan Sea nanti.

“Saya berharap tidak mengalami kecederaan sekali lagi kerana saya mahu berada pada tahap prestasi dan kecergasan terbaik bagi mempertahankan pingat emas 3m papan anjal di Sukan Komanwel Australia dan Sukan Asia di Indonesia tahun depan,” katanya.  

Tambah Tze Liang, “Jika saya bebas dari kecederaan, sudah tentunya saya boleh belajar rutin-rutin baru yang boleh meningkatkan prestasi dan tahap kesukaran saya. Persaingan adalah lebih kompetitif dalam acara lelaki.

“Dalam Sukan Sea kali ini terdapat lebih banyak acara dipertandingkan, tetapi saya tidak mahu menjadi hero dengan menyertai semua acara tersebut. Saya berharap jurulatih juga akan memberi peluang kepada atlet-atlet pelapis untuk menyerlahkan potensi mereka dalam sesetengah acara.”

KL 2017 bakal menawarkan 13 pingat emas menerusi acara terjun berbanding lapan ketika di Singapura. Lima pingat emas tambahan itu adalah bagi acara 1m papan anjal lelaki dan wanita, 3m papan anjal berpasangan campuran, 10m platform berpasangan campuran dan acara berpasukan.

Pasukan terjun negara seramai 16 atlet berlepas ke China pada Selasa untuk menjalani sesi latihan selama sebulan. Selain Tze Liang dan beberapa penerjun senior lain, jurulatih Yang Zhuliang turut menyenaraikan lima atlet pelapis iaitu Jellson Jabilin, Gabriel Gilbert Daim, Hanis Nazirul Jaya Surya, Syahmi Rezal dan Kimberly Bong.   

Menurut Zhuliang, latihan di China ini adalah lebih penting bagi lima atlet pelapis terbabit berbanding yang senior bagi membolehkan mereka mendalami rutin terjunan asas kerana mereka tidak mempunyai platform lain yang sesuai untuk berlatih memandangkan Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil sedang dinaiktaraf.

- Advertisement -