Presiden UiTM FC, Prof Dr Azizan Abdullah mahu membuktikan pasukan universiti bukanlah skuad belasahan dalam saingan Liga Super 2020 apabila sudah membuat persiapan rapi termasuklah dalam aspek kewangan.

Meskipun mengakui kewangan UiTM FC tidaklah sehebat pasukan Liga Super lain yang lebih berpengalaman namun beliau akan berusaha memastikan perbelanjaan diurus secara berhemah bagi memastikan mereka mampu memberi saingan hebat pada musim pertama.

Beliau juga amat yakin dengan barisan pengurusan UiTM FC yang tidak pernah berdepan masalah dalam soal gaji pemain selain mempunyai kemampuan kewangan yang baik untuk beraksi dalam Liga Super musim depan.

Apa yang penting, Azizan enggan lagi UiTM FC dipandang sebelah kerana beliau percaya pasukan itu akan tampil melakar kejutan pada musim depan.

ā€œKami akan menguruskan kelab dengan perbelanjaan berhemah sebab kita tahu seperti mana-mana kelab lain yang mempunyai kewangan yang kukuh biasanya akan mempunyai pemain yang hebat-hebat.

ā€œDari segi kewangan, UiTM FC ini tak adalah besar sangat nak dibandingkan dengan kelab-kelab yang lain tetapi kita sedaya upaya berusaha keras menyediakan yang terbaik buat pasukan kita.

ā€œDengan barisan pengurusan yang berpengalaman, saya percaya mereka akan berikan yang terbaik buat pasukan seperti mana bila UiTM diamanahkan menjadi Pusat Kecemerlangan Bolasepak pada tahun 2011,ā€ katanya.

Pada musim lalu, Azizan meletakan sasaran untuk berada di kedudukan ketiga namun meraih kedudukan di tangga kelima dalam Liga Premier.

Kali ini, beliau meletakan sasaran untuk pasukan berada sekurang-kurangnya kedudukan lima teratas Liga Super dan yang paling utama adalah untuk memastikan UiTM FC tidak lagi tersungkur ke saingan Liga Premier.

ā€œWalaupun musim ini UiTM FC di tangga kelima Liga Premier, tetapi saya tetap berbangga kerana mereka layak naik ke Liga Super.

ā€œKalau boleh kita mahu berada dalam kedudukan kelima pada musim depan, tetapi saya tahu bukan mudah.

ā€œMalah kita sedar apabila masuk ke Liga Super ini, permainan akan menjadi lebih mencabar dan kualiti permainan juga berbeza tetapi dengan usaha keras, semuanya tidak mustahil,ā€ katanya.

- Advertisement -