Saingan Liga Malaysia 2018 membuka tirai secara rasminya malam tadi menyaksikan Uitm FC bermula dengan langkah kanan setelah mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam aksi sulung 100PLUS Liga Premier di Stadium Uitm, Shah Alam.

Sadam Hashim muncul penjaring gol pertama bagi Liga-M musim ini untuk meletakkan Uitm FC mendahului 1-0 di separuh masa pertama sebelum bekas penyerang Kedah, Ken Ilso Larsen menyamakan kedudukan pada minit ke-75.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 menuju ke lima minit terakhir permainan namun Uitm mengecewakan hasrat harimau kumbang membawa pulang satu mata apabila jaringan Lucas Pugh pada minit ke-86 diikuti jaringan Dao Bakary pada masa kecederaan.

Ia kekalahan yang cukup memalukan buat Pulau Pinang bimbingan Zainal Abidin Hassan apatah lagi mereka dilabel sebagai pasukan pilihan setelah menjadi pasukan paling mewah berbelanja dengan merekrut pemain-pemain seperti Jasazrin Jamaludin, Norhafiz Zamani Misbah, Raimi Md Nor, Fitri Shazwan, Azinee Taib, Al Hafiz Hamzah selain Ken Ilso dan Ugo Ukah.

Uitm pula tiada nama berprofil tinggi dan memulakan musim dengan kehilangan dua pemain tonggak, Do Dong Hyun dan Akanni Sunday Wasiu namun permainan yang ditunjukkan nyata cukup menarik dan menghiburkan.

Pertembungan Uitm dan Pulau Pinang merupakan satu-satunya aksi berlangsung Khamis dengan lima perlawanan lain akan berlangsung pada Jumaat iaitu Felcra FC menentang PDRM, MIFA menentang JDT II, UKM FC menentang Felda United, Sarawak menentang Kuantan FA dan Sabah pula melayan kunjungan Terengganu FC II.  OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -