Oleh Muhammad Aiman

‘Umpan’ yang diletakkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tampak mengena pada sasarannya.

Setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kebimbangannya dua hari lalu dan meminta bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa untuk membantu, kini giliran tiga syarikat didahului oleh pengeluar produk minuman terkemuka, SuperBest Power dan syarikat telekomunikasi, RedOne Malaysia menyatakan hasrat mahu menjadi penaja utama skuad bolasepak Kelantan.

Perkembangan ini sekaligus dilihat dapat membantu pasukan itu keluar dari kemelut kewangan tenat seterusnya kekal beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Ketua Pegawai Eksekutif SuperBest Power, Kamal Md Nor berkata perbincangan awal mengenai prospek kerjasama antara kedua-dua pihak sudahpun dibuat bersama wakil dari KAFA dan semuanya dilihat menunjukkan perkembangan positif.

“Kami memang sudah lama berniat mahu menaja pasukan Kelantan, tetapi semuanya bergantung kepada hasil perbincangan. Buat masa ini kami tidak meletakkan apa-apa syarat, dan jumlah tajaan juga masih dalam peringkat rundingan. Kita jangka kata putus akan diperoleh dalam tempoh masa terdekat,” kata Kamal.

Dia juga mengharapkan agar niat SuperBest Power yang mahu menaja The Red Warriors mendapat sokongan penuh dari penyokong pasukan itu yang cukup diketahui sebagai fanatik dan ‘gila bola’.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Pemasaran RedOne Malaysia, Ben Teh berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan barisan exco KAFA bagi membincangkan perkara ini sebelum 29 Disember, tarikh keputusan muktamad akan dibuat oleh Kelantan sama ada kekal beraksi atau menarik diri.

“Hubungan antara RedOne dan KAFA sudah lama terjalin, dan kami sudah dua kali menyumbangkan tajaan sebelum ini bernilai RM500,000. Niat kita ini juga didorong hasil jualan RedOne yang meningkat sejak menyumbangkan tajaan untuk TRW.

“Kira-kira 180,000 pengguna di Kelantan menggunakan talian RedOne, malah warna RedOne juga sama dengan warna keramat pasukan ini, dan lebih-lebih lagi sukan bolasepak cukup popular di Kelantan. Kita akan berbincang mengenai keperluan kewangan Kelantan dan putuskan jumlah tajaan nanti,” ujar Kamal.

Sebuah lagi syarikat milik bumiputera, OAR Teguh Sdn Bhd, turut berhasrat sama apabila menyatakan kesudian mahu memberi tajaan dalam bentuk wang tunai.

“Kelantan merupakan sebuah pasukan yang amat disegani dan tanpa kehadiran mereka, Liga-M akan kehilangan seri. Selain itu, mereka mempunyai jumlah penyokong yang begitu ramai dan hebat dalam memberikan sokongan, ianya memberikan kami semangat untuk membantu mereka walaupun kami berasal dari negeri lain,” jelas Pengarah Urusan OAR Teguh, Omar Ali.

Untuk makluman, Kelantan sebelum ini membuat keputusan mahu menarik diri dari Liga-M setelah kehilangan penaja utama, Vida Beauty yang menghentikan tajaan manakala barisan exco pula terkial-kial tanpa arah bagi mengisi kantung persatuan yang hanya ada RM800,000.

Kelantan dilaporkan memerlukan minima RM15 juta untuk mengharungi musim baru, dan seandainya gagal mendapat suntikan kewangan, mereka sudahpun menyatakan hasrat mahu menarik diri dengan keputusan muktamad akan dibuat pada 29 Disember melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa KAFA.    

- Advertisement -