Biarpun berdepan kritikan hebat dek prestasi buruk berterusan skuad bolasepak kebangsaan, ketua jurulatih Nelo Vingada menegaskan dia tidak akan menjadi pengecut dan lari meninggalkan tanggungjawab.

Kekalahan 1-4 kepada Korea Utara dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium i-Mobile, Buriram pada Jumaat, melebarkan rekod tanpa kemenangan di bawah kendaliannya kepada enam perlawanan dan lebih malang, skuad negara masih mencari kemenangan pertama bagi tahun 2017.

Harimau Malaya kali terakhir merasai nikmat kemenangan ketika aksi peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2016 dengan menewaskan Kemboja 3-2 namun mengharungi sembilan perlawanan selepas itu dengan catatan dua seri dan tujuh kekalahan.

Kekalahan terbaru menyaksikan Malaysia kekal di tangga tercorot Kumpulan B selepas empat perlawanan dengan hanya satu mata hasil keputusan seri menentang Hong Kong dan hampir pasti terlepas peluang beraksi di pusingan akhir Piala Asia kecuali ada keajaiban berlaku dalam dua perlawanan terakhir.

Bagi Vingada, apa sahaja kritikan yang dilemparkan malah jika didesak untuk meletak jawatan sekalipun, dia tidak akan berputus asa di dalam usahanya untuk meningkatkan semula prestasi dan mengembalikan seri yang hilang dari skuad negara.

“Saya tahu anda semua kecewa, tetapi jujur saya kata keputusan ini mengecewakan saya lebih daripada apa yang orang lain rasa. Anda boleh marah, anda boleh mengeluh, tetapi saya tidak boleh mengeluh kerana pasukan ini adalah tanggungjawab saya.

“Sama ada pasukan bermain baik atau buruk, menang atau kalah, saya tidak akan ke mana-mana, saya akan terus berusaha untuk membawa pasukan ini ke satu tahap yang lebih baik selama mana khidmat saya diperlukan.

“Memang saya tertekan namun saya perlu hadap semua itu, apa yang saya perlukan adalah masa dan kesabaran untuk mendapatkan keputusan yang baik buat pasukan,” kata Vingada selepas perlawanan menentang Korea Utara.

Pada aksi tersebut, Malaysia ketinggalan 0-2 di separuh masa pertama menerusi jaringan Park Kwan Ryong dan Kim Yu Song, sebelum skuad kendalian Jorn Andersen itu menambah dua lagi jaringan di babak kedua menerusi Kim Yong Il dan Jong Il Gwan manakala jaringan tunggal skuad negara dihasilkan Safawi Rasid.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di venue sama pada Isnin ini.OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -