BERMAHARAJALELA: Kelalaian pemain PKNS membiarkan Badhri Radzi (kanan) mengatur gerakan demi gerakan menjadi punca kekalahan PKNS.
BERMAHARAJALELA: Kelalaian pemain PKNS membiarkan Badhri Radzi (kanan) mengatur gerakan demi gerakan menjadi punca kekalahan PKNS.

JURULATIH PKNS FC, Wan Jamak Wan Hassan menyifatkan anak didiknya kurang agresif ketika tewas tipis 3-2 kepada Kelantan dalam saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

PKNS sebelum ini pernah mengaibkan The Red Warriors (TRW) apabila berjaya menewaskan pasukan itu 2-1 dalam saingan Liga Super, 29 Feb lalu di gelanggang sama.

Wan Jamak berkata, pemainnya mempamerkan aksi kurang agresif pada babak pertama sehingga membenarkan anak buah Steve Darby mencipta peluang dan melakukan serangan berbahaya.

Kelalaian pemainnya yang gagal mengawasi pergerakan kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya juga menjadi faktor tuan rumah mampu mengatur serangan dan mendapatkan jaringan.

“Nampaknya malam ini pemain bermula dengan kurang agresif malah membiarkan Kelantan melancarkan serangan, namun saya lega walaupun tewas kerana sudah mempunyai dua jaringan tempat lawan.

“Kelekaan pemain saya yang membiarkan Piya menguasai padang dan mencorakkan permainan salah satu faktor yang menyebabkan kami memberi peluang kepada Kelantan untuk menyerang,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

PKNS memperolehi dua jaringan menerusi pemain import, Patrick ‘Ronaldinho’ Wleh pada minit ke-20 dan Kim Dongchen minit ke-82.

Bagi persediaan perlawanan timbal balik, jurulatih berusia 56 tahun dari Johor itu perlu merehatkan beberapa tonggak meskipun bakal berdepan Sime Darby dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat ini.

Katanya, PKNS FC akan mempamerkan kebangkitan di gelanggang sendiri ketika melayan kunjungan TRW dalam perlawanan 18 Feb ini.

“Kita sudah ada dua gol tempat lawan dan saya yakin kami akan bangkit untuk melayakkan diri ke separuh akhir. Saya juga mungkin perlu merehatkan beberapa pemain ketika berdepan Sime Darby kerana mahu menewaskan Kelantan dalam saingan Piala FA,” katanya.

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -