#Formula penting membentuk jaguh badminton bertaraf dunia

 

Jurulatih badminton negara perlu menggunakan modul latihan khas yang selaras bagi melahirkan lebih ramai bintang sukan itu bertaraf dunia seperti Datuk Lee Chong Wei.

Perkara itu disuarakan legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek ketika ditemui di acara Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung. Beliau mahu Malaysia mencari formula khusus supaya atlet badminton negara terus menempa nama di persada antarabangsa.

Kejohanan Badminton Remaja Terbuka Manjung tersebut dianjurkan oleh Bandar Baru Setia Awan Perdana, sebuah perbandaran mampu milik yang didirikan oleh Taraf Nusantara Sdn. Bhd., syarikat pemaju terbesar di negeri Perak.

Pertandingan ini telah berjaya menarik lebih daripada 250 penyertaan dari seluruh Semenanjung Malaysia termasuk Perak, Kedah dan Terengganu.

Misbun menambah, demi mencapai matlamat itu, beliau telah pun merangka satu siri modul latihan khas yang boleh diguna pakai oleh semua jurulatih termasuk memberi latihan yang selaras kepada pasukan jurulatih negara.

Menurut beliau lagi, modul latihan tersebut merupakan satu sumbangan bermakna kepada negara dalam arena sukan berkenaan.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia mencari satu formula yang mana semua jurulatih badminton menggunakan modul latihan yang sama sehingga mampu melahirkan bintang dunia.

“Saya sudah menyediakan satu siri modul latihan yang telah diguna pakai selama ini hingga mampu melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei dan pemain lain yang mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Misbun yang baru dilantik sebagai Pengarah Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, modul latihan itu merupakan satu ‘peninggalan’ besar dalam bidang sukan berprestij itu selepas khidmat kejurulatihan beliau berakhir pada satu masa nanti.

“Saya tidak akan berada di sini selama-lamanya, tetapi modul yang saya sediakan ini boleh digunakan oleh jurulatih lain.

“Walaupun sampai masa saya tiada lagi, sekurang-kurangnya sumbangan saya ini boleh terus memastikan sukan badminton negara terus mendapat perhatian peminat sukan global,” tambah Misbun lagi.

Dalam pada itu, Misbun yang merupakan ‘orang penting’ di sebalik kejayaan Lee Chong Wei berkata, Malaysia perlu terus menghantar pemain negara untuk bertanding di peringkat antarabangsa supaya kedudukan negara kekal di tangga tertinggi.

Dalam hal itu, beliau percaya penganjuran kejohanan badminton terutama Kejohanan Terbuka Manjung termasuk pelbagai program pencarian bakat yang sedang dan akan dijalankan khususnya di daerah itu bakal mewarnai industri sukan badminton negara.

Apatah lagi katanya, kemudahan tempat latihan serba moden, Dewan Badminton Misbun Sidek yang terletak di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sri Manjung diyakini dapat menyuntik semangat kesukanan dalam kalangan individu berbakat selepas ia disiapkan sepenuhnya pada tahun depan.

Pemaju Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) yang mengambil inisiatif membina dewan yang mempunyai enam gelanggang itu berpotensi menggilap bakat pemain pelapis sekali gus boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Dalam hal itu, Misbun amat menghargai inisiatif pemaju menggunakan namanya untuk dewan badminton itu dan berharap boleh memberikan sumbangan tenaga dan ilmu kepada anak-anak muda di bandar itu melalui latihan dan juga klinik badminton.

BBSAP baru-baru ini telah dianugerahkan Pembangunan Rumah Mampu Milik Terbaik fasa pertama dalam Anugerah Kecemerlangan Pembangunan iProperty (iDEA) 2019 baru-baru ini.

BBSAP merupakan pembandaran terancang tunggal terbesar di Perak dengan lebih daripada 10,000 rumah dibina pada harga berpatutan. Penghargaan itu merupakan hasil kejayaan pasukan dalam perancangan, pemetaan dan pembinaan bandar yang tepat pada jangka masanya.

Projek BBSAP fasa pertama yang bermula pada 2016 itu menawarkan kemudahan bertaraf lima bintang seperti rumah kelab, pejabat kerajaan dan taman tasik tropikal.

Projek berkenaan melibatkan kawasan seluas 1,012 ekar di mana fasa pertama melibatkan 1,147 unit rumah dalam kawasan seluas 73 ekar telah siap dibina dan fasa seterusnya akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

BBSAP terletak di lokasi strategik kepada pemilik kediaman untuk dijadikan sebagai pelaburan dalam program pemilikan rumah kedua selain kedudukannya berhampiran dengan lebuh raya WCE menghubungkan Kuala Lumpur-Manjung dan Manjung-Pulau Pinang.

Manjung kini menjadi nadi bandar utama Perak yang terkenal sebagai hub lokasi pelancongan dan maritim dengan ribuan kedatangan pelancong di Lumut dan Pulau Pangkor terutama pada hujung minggu.

- Advertisement -