
Malaysia meneruskan momentum positif pada Sukan SEA Thailand 2025 ke-33 apabila meraih enam pingat emas pada Hari Ke-6, sekali gus mengekalkan kedudukan kelima keseluruhan.
Wushu menyerlah dengan dua pingat emas di Kompleks Kerajaan Chaeng Watthana hari ini menerusi jaguh negara dan juara dunia empat kali, Tan Cheong Min, biar pun beraksi dalam keadaan di belenggu kesakitan otot serius.
Atlet berusia 27 tahun itu mengesahkan statusnya sebagai peneraju utama wushu negara apabila menjuarai acara gabungan wanita dengan jumlah 29.263 mata, hasil catatan 9.743 (nanquan), 9.706 (nangun) dan 9.760 (nandao). Pingat perak menjadi milik wakil Vietnam, Dang Tran Phuong Nhi (29.112), manakala atlet Singapura, Kassandra Ong, meraih gangsa (28.579).
Cheong Min kemudiannya berganding bersama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee untuk menghasilkan emas kedua negara dalam acara duilian senjata berpasukan wanita dengan pungutan 9.730 mata, mengatasi Thailand (9.646) dan Myanmar (9.606).
Dalam renang, emas akhirnya jadi milik Khiew Hoe Yean apabila mengungguli acara 400 meter gaya bebas lelaki di kolam renang Sports Authority of Thailand, menamatkan penantian selama empat tahun. Atlet berusia 23 tahun itu mencatat masa 3 minit 50.63 saat untuk menewaskan wakil Vietnam, Van Nguyen Quoc Tran (3:53.18) dan Nguyen Huy Hoang (3:53.50).
Iaq emas kedua Hoe Yean di Sukan SEA kali ini selepas memenangi acara 200 meter gaya bebas pada Ahad, serta kali pertama beliau meraih lebih daripada satu emas dalam satu edisi temasya.
Di arena snuker, Malaysia memenangi emas kedua negara dalam acara berpasukan enam merah lelaki menerusi gandingan Thor Chuan Leong, Lim Kok Leong dan Moh Keen Hoo. Trio berpengalaman itu bangkit daripada ketinggalan satu frame untuk menewaskan Filipina 4–1 di Thunderdome, Nonthaburi, sekali gus memenuhi sasaran dua emas yang ditetapkan sebelum ini.
Olahraga turut menyumbang emas menerusi Andre Anura Anuar yang bangkit daripada kekecewaan dalam acara lompat kijang dengan menjuarai acara lompat jauh lelaki. Andre melakukan lompatan sejauh 7.71 meter untuk menamatkan kemarau 22 tahun emas Malaysia dalam acara itu, dengan kejayaan terakhir dicatat pada Sukan SEA Hanoi 2003.
Wakil Filipina, Janry Ubas, meraih perak (7.64m), manakala Andrew George Medina dari Singapura membawa pulang gangsa (7.53m).
Dalam gimnastik berirama, Malaysia kembali menjejakio podium apabila memenangi acara berpasukan wanita buat kali pertama sejak 2017 di Kampus Universiti Thammasat, Rangsit. Barisan gimnas negara mengumpul 234.60 mata keseluruhan, diterajui atlet berpengalaman Ng Joe Ee bersama Valeria Ng, Bernice See, Syamimi Amalia Shahrizam, Carol Yuan, Mavia Wong, Lim Xian Yar, Miai Ong Xiao Han dan Lai Yun Jo.
Sementara itu, kuartet 4×100 meter lelaki negara – Aliff Iman Fahimi, Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan pelari terakhir Danish Iftikhar Roslee – mencipta sejarah dengan memecahkan rekod kebangsaan selepas mencatat masa 39.03 saat untuk meraih perak. Rekod terdahulu 39.09 saat dicatat pada Sukan SEA Hanoi 2021.
Dalam kedudukan keseluruhan, tuan rumah Thailand terus mendominasi dengan 145 emas, 87 perak dan 60 gangsa, diikuti Indonesia (52-65-64), Vietnam (40-47-70) dan Singapura (34-32-39).
Malaysia kekal di tempat kelima dengan keseluruhan 134 pingat, merangkumi 26 emas, 28 perak dan 80 gangsa.






























