Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) mengesahkan pemain muda meningkat naik, Zafuan Azeman telahpun dilepaskan untuk menyertai Pulau Pinang secara persetujuan bersama antara kedua-dua pihak, tanpa sebarang syarat.

Dalam satu kenyataan, PFA menjelaskan langkah itu diambil demi memberi peluang kepada Zafuan untuk memburu lebih banyak minit bermain demi merealisasikan impiannya beraksi di luar negara pada masa akan datang.

Sebelum ini, Zafuan yang diperkenalkan sebagai pemain Perlis mencuri tumpuan ramai apabila kelibatnya disaksikan di padang latihan skuad Pulau Pinang malah dia juga diturunkan dalam aksi persahabatan Pulau Pinang menentang PKNP FC pada Ahad lalu.

Ia sekaligus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bolasepak tempatan mengenai status sebenar pemain skuad bawah 19 tahun kebangsaan itu sehinggakan pelbagai andaian dan spekulasi dicipta, termasuklah khabar angin bahawa Zafuan ‘angkat kaki’ kerana pengurusan baru PFA sudah mula dihimpit masalah kewangan.

Dalam pada itu, Zafuan pula menjelaskan bahawa salah satu sebab utama dia membuat keputusan meninggalkan skuad singa utara walaupun baru dua minggu menyertai mereka adalah kerana persaingan terlalu sengit untuk memburu tempat di dalam kesebelasan utama.

“Tahun lalu saya bersama Kedah dan pengalaman memanaskan bangku simpanan membuatkan saya terpaksa fikir balik. Pasukan Perlis mempunyai pemain import dan tempatan berkualiti, saya tidak boleh bazir masa untuk duduk dan sekadar jadi pelengkap, lagipun saya sudah berusia 20 tahun, ini masa untuk saya mengorak langkah.

“Ia satu keputusan berat tetapi saya perlu mencari pasukan baru yang boleh memberikan saya lebih banyak peluang bermain. Saya perlu diturunkan dengan lebih kerap demi mengekalkan momentum dan memikat perhatian jurulatih skuad kebangsaan.

“Jadi saya melihat Pulau Pinang sebagai pilihan tepat dan jika tiada aral, saya akan ikat kontrak bersama mereka dalam tempoh terdekat,” ujar Zafuan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -