Mutiara Impian berpesta gol, SSMP ‘A’ B-14 ratah ‘adik’

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2017/05/mutiara-impian-berpesta-gol-ssmp-b-14-ratah-adik/">
Twitter
Pinterest

Liga KPM SSM Pahang A B14 vs SSM Pahang A B13(hitam)

Sekolah Sukan Negeri Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian terus kekal sebagai pendahulu Liga Super Piala Kementerian Pendidikan Malaysia B-14 buat minggu ketiga setelah beraksi garang mencatat kemenangan besar 6-1 ke atas Sekolah Sukan Negeri Terengganu, SMK Bukit Nenas. 

Ia adalah kemenangan ketiga berturut-turut buat SMK Mutiara Impian sekaligus menyaksikan mereka mengumpul sembilan mata dan mendahului liga dengan kelebihan jaringan ke atas pasukan tangga kedua Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ B-14.

Di Padang ‘C’ Akademi Mokhtar Dahari, Gambang, SSMP ‘A’ B-14 turut cemerlang melakar kemenangan ketiga setelah menewaskan pasukan adik mereka, SSMP ‘A’ B-13 dengan jaringan 4-1.

Skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan, Effendi Malek itu mendahului 2-0 di babak pertama menerusi jaringan Aznil Hafiz Azhar pada minit ke-15 dan Najmudin Akmal pada minit ke-27 sebelum menambah dua lagi jaringan di separuh masa kedua menerusi Danish Zahir dan Najmudin.

Gol tunggal buat SSMP ‘A’ B-13 dijaringkan oleh Ahmad Rozaini Abu Bakar pada minit ke-55.

Kemenangan besar bagaimanapun belum membuatkan Effendi menarik nafas lega sebaliknya pengendali itu berharap anak buahnya akan terus menunjukkan peningkatan dari perlawanan demi perlawanan.

“Menang tu bagus tapi banyak kena perbaiki, terutama dari segi teknik. Program pembangunan ni paling penting adalah teknik, mereka dalam proses pembelajaran, kita sentiasa perbetulkan kesilapan pada setiap perlawanan. 

“Mereka juga semakin faham, tetapi umur mereka ini lebih kepada pendedahan, proses pembelajaran, jadi memang ada sedikit kesukaran tapi mereka akan bertambah matang,” ujar Effendi.

Dalam pada itu, skuad Akademi Felda yang diwakili oleh SMK Presint 14 (1) Putrajaya melakar kemenangan pertama mereka setelah menewaskan Sekolah Sukan Negeri Sembilan, SMK Za’ba 2-1 di gelanggang lawan.

Manakala Akademi Johor Darul Takzim iaitu SMK Bukit Indah pula mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Sekolah Sukan Negeri Pahang, SMK Seberang Temerloh 4-2.

 

Liga KPM SSM Pahang B B14(Merah) vs SMK Kem Terendak Akademi ATM

Dalam aksi Liga Perdana Piala Menteri Pendidikan B-14 pula, Sekolah Sukan Negeri Kedah, SMK Tunku Anum T.A.R mencatat kemenangan pertama sekaligus melonjak ke tangga kedua dengan lima mata setelah membelasah wakil Johor, SMK Tun Hussein Onn dengan jaringan 4-0.

Aksi di Padang ‘A’ Akademi Mokhtar Dahari pula menyaksikan SSMP ‘B’ B-14 terlepas peluang untuk melonjak ke kedudukan teratas setelah sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Akademi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu SMK Kem Terendak.

Keputusan itu menyaksikan SSMP ‘B’ B-14 berada di tangga ketiga dengan lima mata.

Sementara dalam perlawanan berlangsung di padang bersebelahan, SSMP ‘B’ B-13 pula kecundang 2-4 kepada Sekolah Sukan Negeri Kelantan, SMK Putera. Kemenangan pertama buat SMK Putera menyaksikan mereka melonjak ke tangga keempat dengan empat mata.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung di Bukit Serindit menyaksikan tuan rumah, Sekolah Sukan Negeri Melaka, SMK Seri Kota menewaskan MSS Putrajaya 4-0.

 

KEPUTUSAN (LIGA SUPER)

SMK Bukit Indah (Akademi JDT)            4

SMK Seberang Temerloh (Pahang)         2

 

SSMP ‘A’ B-14                                     4

SSMP ‘A’ B-13                                     1

 

SMK Mutiara Impian (P.Pinang)             6

SMK Bukit Nenas (Terengganu)             1

 

SMK Za’ba (N.Sembilan)                       1

SMK Presint 14 (1) Putrajaya                 2

  

KEPUTUSAN (LIGA PERDANA)

SMK Seri Kota (Melaka)                                4

MSS Putrajaya                                    0

 

SMK Tunku Anum T.A.R (Kedah)            4

SMK Tun Hussein Onn (Johor)                0

 

SSMP ‘B’ B-14                                     0

SMK Kem Terendak (Akademi ATM)               0

 

SSMP ‘B’ B-13                                     2

SMK Putera (Kelantan)                         4

Please follow and like us:
0