Oleh Muhammad Aiman

Malam ini, akan berlangsung aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala AFC.

Secara matematik, kesemua empat pasukan dalam Kumpulan G masih berpeluang untuk memburu tempat beraksi di peringkat separuh akhir.

Pendahulu Ceres dan Hanoi (masing-masing lapan mata), serta Tampines Rovers (enam mata) berpeluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan selaku juara manakala wakil Malaysia, Felda United dengan lima mata masih berpeluang memburu tempat kedua.

Seperti diketahui, peraturan baru menyatakan hanya tiga juara kumpulan dari Zon Asean akan meneruskan kemaraan secara automatik manakala satu lagi slot akan menjadi milik pasukan tempat kedua terbaik dari tiga kumpulan tersebut.

Justeru, jurulatih Felda United, B.Sathianathan menuntut barisan pemainnya untuk tampil memberikan aksi terbaik dan memburu tiga mata apabila mereka berdepan Hanoi dalam pertembungan getir di Stadium My Dinh, malam ini.

Kemenangan belum tentu dapat menjamin kemaraan Felda, namun begitu Sathianathan tidak mahu pemainnya putus harapan dan cuba tamatkan aksi kumpulan dengan nota gemilang.  

“Hanoi adalah pasukan yang sangat kuat, mereka adalah pasukan terbaik dalam kumpulan jadi kekalahan mereka kepada Ceres sebelum ini agak mengejutkan saya. Tetapi itulah bolasepak, saya percaya perlawanan pada malam ini akan menjadi sangat sukar.

“Kami akan cuba untuk mencatat kemenangan, tetapi apa yang lebih penting adalah prestasi pemain-pemain saya. Tiada tekanan di pihak kami kerana walau menang sekalipun, peluang untuk kami mara sebenarnya bergantung kepada perlawanan kumpulan lain.

“Saya mahu pemain menang perlawanan ini supaya memberikan mereka suntikan moral untuk mengharungi cabaran Liga Super,” kata Sathianathan dalam sidang media pra-perlawanan di Hanoi.

Hanoi akan turun tanpa kelibat penyerang utama Hoang Vu Samson yang dilayangkan kad merah ketika menentang Ceres dua minggu lalu manakala Felda pula tanpa ketua pasukan berpengaruh, Shukor Adan yang menjalani penggantungan satu perlawanan setelah mengumpul dua kad kuning.  

- Advertisement -