Khairul Hafiz Jantan meleburkan rekod kebangsaan acara pecut 200 meter lelaki dengan catatan masa 20.90 saat,0.02 saat lebih pantas berbanding catatan yang dilakar Dato’ Dr. M. Jegathesan 49 tahun lalu ketika sukan olimpik 1968 di Mexico. Kredit Foto – Rozmi Yunus / www.asiana.my

Khairul Hafiz Jantan melakar sejarah baru dalam arena olahraga Malaysia khususnya apabila memadamkan rekod berusia 50 tahun yang dipegang bekas atlet negara Datuk M Jegathesan dalam acara pecut 200 meter lelaki.

Beliau mengambil bahagian dikejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke 49 di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berlangsung sejak Isnin (17 Julai 2017).

Henjutan bertenaga Khairul memastikan beliau melintasi garisan penamat dengan catatan masa 20.90 saat, memadamkan rekod Datuk M Jegathesan dengan kelebihan 0.02 saat yang dilakar ketika di Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan untuk memecahkan rekod hari ini. Terima kasih juga kepada jurulatih Mohd Poad Md Kassim, keluarga dan rakan rakan seperjuangan.

Khairul Hafiz Jantan(kiri) meleburkan rekod kebangsaan acara pecut 200 meter lelaki dengan catatan masa 20.90 saat,0.02 saat lebih pantas berbanding catatan yang dilakar Dato’ Dr. M. Jegathesan 49 tahun lalu ketika sukan olimpik 1968 di Mexico. Kredit Foto – Rozmi Yunus / www.asiana.my

“Bagi saya sangat bermakna kerana tidak menjangkakan dapat pecahkan rekod ini. Memang bersemangat untuk ke Sukan SEA kerana saya sudah Nampak strategi hanya perlu mengikuti strategi daripada jurulatih,” kata Khairul.

Bagi Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sejarah yang terhasil di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini pastinya menambahkan lagi kehangatan menjelang persaingan temasya Sukan SEA ke 29 nanti.

Bagi Datuk Karim, atlet dan jurulatih telah memainkan peranan, hanya memerlukan sokongan daripada orang ramai untuk datang dan memberikan sokongan.

“Ianya adalah rekod yang sah kerana segalanya termasuk aspek masa, tiada kesalahan false start. Jika ianya melibatkan rekod Asia atau dunia, ianya memerlukan pengesahan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

“Saya mengharapkan semua rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kerana tidak mustahil di Sukan SEA tahun ini kita akan menyaksikan seorang atlet dari malaysia yang akan memecahkan tiga acara iaitu 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter sekaligus.

“Selain acara pecut, saya menjangkakan rekod baru akan tercipta dalam acara lain sperti lompat tinggi, lempar cakera, dan baling tukul,” kata Karim.

Atlet kelahiran Vietnam, Le Trong Hinh muncul pemenang pingat emas bagi acara ini ketika beraksi di Sukan SEA ke 28 di Singapura dua tahun lalu dengan catatan masa 20.89 saat.

Manakala rekod Sukan SEA bagi acara 200 meter pecut lelaki masih kekal milik atlet kelahiran Thailand, Reanchai Seeharwong yang dilakar ketika di Brunei Darussalam pada 1999.

Dalam pada itu, diatas kejayaan, Khairul, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memberikan imbuhan sebagai penyuntik semangat.

“Atlet negara telah memecahkan 20 rekod kebangsaan sejak 2015 dan ini adalah yang ke 21. Kita akan beri ganjaran RM 5000 kepada Khairul tetapi jumlah itu mungkin lebih kerana memecahkan rekod yang berusia lebih daripada 10 tahun,” katanya. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -