Kesemua lima pemain skuad B-19 negara kendalian Bojan Hodak – Shivan Pillay Asokan, K.Thivandaran, Hadi Fayyadh Abdul Razak, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid berjaya menempatkan diri dalam senarai 26 pemain skuad B-23 yang akan terbang ke Mokpo, Korea Selatan, Ahad ini.

Pengendali skuad B-23 kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee menggugurkan dua pemain iaitu penjaga gol Amierul Hakimi Awang dan penyerang, Sean Eugene Selvaraj selepas membuat penilaian terakhir ketika seri tanpa jaringan menentang Melaka United dalam aksi persahabatan pada Khamis.  

Seorang lagi pemain iaitu Danial Asyraf Abdullah sudahpun lebih awal tersisih kerana kecederaan manakala Shafiq Ahmad pula digugurkan Kim Swee pada minggu lalu kerana pemain itu lewat melapor diri setelah melangsungkan perkahwinan.  

“Ia bukan mudah untuk saya buat keputusan menggugurkan dua pemain ini, tetapi saya telah menilai kesemua faktor dan memutuskan untuk mengetepikan mereka,” ujar Kim Swee yang sedang mempersiapkan pasukannya menghadapi pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Jiangsu, China bulan depan.

Sebagai makluman, pasukan negara dijadual beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan menentang Mokpo City pada 20 Disember, Jeonju University (22 Disember) dan Jeonju Citizen (28 Disember) sepanjang latihan pusat selama dua minggu di Mokpo.

Selepas berakhir latihan pusat selama dua minggu di sana pada 30 Disember, Kim Swee akan menggugurkan tiga lagi pemain dan membawa skuad akhir seramai 23 pemain ke Nanjing, China untuk satu lagi aksi persahabatan.

Skuad negara dijadual tiba di Jiangsu pada 6 Januari manakala aksi pembuka tirai Kumpulan C adalah menentang Iraq pada 10 Januari, disusuli Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).OLEH MUHD AIMAN 

 

Senarai 26 pemain ke Mokpo, Korea Selatan :

Penjaga gol : Ifwat Akmal (Kedah), Haziq Nadzli (JDT), Ahmad Syihan Hazmi (N.Sembilan)

Pertahanan : Irfan Zakaria (KL), Adib Zainuddin (Felcra), Shivan Pillay Asokan (PKNS), Raphi Azizan Mariappen (PJ Rangers), Syazwan Zaipol Bahari (Perak), Adam Nor Azlin (JDT), Dominic Tan (JDT)

Tengah : K.Thivandaran (P.Pinang), Nik Akif Syahiran Nik Mat (Kelantan), Daniel Amir Norhisham (Felda Utd), Nor Azam Azih (Pahang), Syahmi Safari (Selangor), Ahmad Khairil Anuar Zamri (Perak), Syamer Kutty Abba (JDT), Mathew Davies (Pahang), Tommy Mawat Bada (PJ Rangers), Syazwan Andik Ishak (JDT II)

Penyerang : N.Thanabalan (N.Sembilan), Jafri Firdaus Chew (P.Pinang), Akhyar Rashid (Kedah), Hadi Fayyadh Abdul Razak (JDT II), Safawi Rasid (JDT), R.Kogileswaran (Pahang)

 

 

 

- Advertisement -