Meskipun berstatus pendatang baru dalam saingan 100PLUS Liga Premier, ia tidak menghalang Felcra FC meletakkan sasaran cukup tinggi untuk layak ke Liga Super dalam percubaan pertama mereka sepertimana berjaya dilakukan PKNP FC.

Penaung Felcra FC, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata, “Pemain semua menunjukkan satu kesungguhan tinggi dan sudah tidak sabar turun beraksi. Jika mereka berada pada prestasi terbaik setiap perlawanan, mereka boleh tewaskan sesiapa sahaja.

“Saya tidak boleh cakap secara khusus sasar nombor berapa, saya harapkan mereka boleh beri tentangan sengit tanpa gentar kepada sesiapa, tapi bila kata nak layak ke Liga Super, ia mestilah nombor satu atau nombor dua.”

Bung Mokhtar bercakap kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain pasukan itu pada Isnin.

Felcra FC yang dibimbing jurulatih import, Tarchisio Pugliese telah mengharungi pra-musim yang positif termasuklah menang 5-0 ke atas MOF FC pada minggu lalu justeru membuatkan Bung Mokhtar yakin pasukan itu semakin serasi dan akan membuka kempen Liga Premier menentang PDRM pada Ahad dengan langkah kanan.

Bagi Pugliese, dia berpendapat sasaran yang diletakkan itu bukan mudah untuk dipenuhi namun menganggap ia sebagai satu cabaran menarik untuk disahut.

“Kita mempunyai sebuah skuad yang hebat, kita perlu terus bekerja keras dan sudah tentu peranan pemain-pemain berpengalaman seperti Shahrom (Kalam), Fandi (Othman), Syamim (Othman) dan Rashid Aya yang pernah bermain di Liga Super adalah cukup kritikal.

“Kita tidak mempunyai nama besar dalam skuad tapi semangat mereka besar, jadi saya anggap mereka pastinya mahu untuk menunaikan sasaran ditetapkan pengurusan dan membuktikan kepada semua bahawa Felcra FC boleh menjadi antara pasukan tumpuan musim ini,” kata Pugliese.

Felcra FC yang digelar The Rivals telah turut memperkuatkan skuad dengan empat pemain import iaitu tiga dari Brazil – Endrick Dos Santos Parafita, Anselmo Aruda da Silva, Leonardo Moreira Carvalho serta seorang dari Indonesia, David Laly.     OLEH MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -