Baru-baru ini, media tempatan telah melaporkan bahawa pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel Da Silva sedang mencari penjaga gol baru dan Khairul Fahmi Che Mat adalah pemain yang menjadi buruannya.

Jika benar kata Fabio bahawa Khairul Fahmi turut berminat menyertai pasukannya, maka penjaga gol kebangsaan itu akan menjadi seorang lagi orang lama meninggalkan skuad Kelantan yang sedang hebat menjalani proses “pemutihan”.

Dengan adanya bekas penjaga gol Harimau Muda Ramadhan Hamid dan terbaru penjaga gol Piala Presiden, Fikri Che Soh yang mendapat kepercayaan Fajr Ibrahim untuk diserap ke skuad senior, Khairul Fahmi mungkin merasakan dia perlu mencari tempat lain untuk terus bermain di dalam kesebelasan utama dan KL sudah tentunya pilihan tepat mengambil kira pasukan itu sedikit bergelut di posisi penjaga gol.

Skuad warga kota setakat ini dilihat belum mempunyai pilihan terbaik untuk mengawal gawang – Kamarul Effendi Rahim tidak menentu prestasinya dan tidak keterlaluan untuk mengatakan beberapa kesilapan mudahnya menyebabkan KL tercicir mata musim ini manakala Khatul Anuar Abd Jalil pula masih kurang pengalaman. Solehin Mamat mungkin opsyen lebih baik tapi diberitakan sedang merawat kecederaan.

Adakah Kelantan akan melepaskan Khairul Fahmi? Ya, dengan beban kewangan yang kritikal dan lebih dari 10 pemain sudah ditamatkan kontrak/dipinjamkan, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mungkin merasakan tawaran terhadap khidmat Apek (jika KL buat tawaran) sangat sukar utk ditolak.

Pengalaman dan reputasi Khairul Fahmi, sudah tentunya cukup untuk memberitahu bahawa dia adalah salah seorang penerima gaji tertinggi di Kelantan maka melepaskannya mungkin pilihan terbaik buat KAFA – dia adalah anggota skuad kebangsaan sejak 2010 dan telah merangkul pelbagai kejuaraan bersama The Red Warriors.

Apa sekalipun KL sudah menegaskan mereka hanya berminat dan semuanya masih di peringkat awal, mereka belum hubungi KAFA, jadi selagi itu Apek tetap milik Kelantan dan penyokong mereka tidak perlu bimbang akan kehilangan pemain yang telah menyarung jersi TRW hampir 10 tahun itu.

Kita juga tidak tahu apa isi hati KAFA dan Khairul Fahmi sendiri, mungkin juga mereka mahu penjaga gol berusia 29 tahun itu kekal untuk menjadi pembimbing kepada pemain muda.

Tinjauan Sports247 mendapati ramai yang kurang bersetuju untuk melihat seorang lagi pemain tonggak dilepaskan kerana khuatir ia akan melumpuhkan pasukan setelah sudahpun kehilangan khidmat pemain seperti Bruno Lopes, Ferdinand Sinaga, S.Veenod, Norfarhan Muhammad dan ramai lagi.

Namun dalam masa sama ramai juga yang berpendapat sekiranya ia dapat membantu meringankan beban kewangan KAFA, elok juga dia dilepaskan selain ia dapat membuka peluang kepada penjaga gol muda yang lain untuk menapak masuk mencipta nama. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -