Penyerang, Muhammad Muhibuddin Moharam teruja untuk membuat penampilan pertamanya bersama skuad hoki remaja negara bagi menghadapi saingan Piala Sultan Johor (SOJC) yang akan bermula 12 hingga 19 Oktober ini.

Selepas terlepas peluang melakukannya pada edisi tahun lalu kerana beraksi pada Sukan Olimpik Belia di Argentina yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas, anak jati kelahiran Jasin, Melaka itu enggan mensia-siakan peluang kali ini.

Masih segar dengan kejayaan membantu Melaka menjuarai saingan Piala Razak 2019, baru-baru ini, pemain berusia 19 tahun itu berharap mampu mengekalkan momentum berkenaan untuk mencipta kenangan manis dalam penampilan pertama bersama skuad bimbingan Nur Saiful Nur Saiful Zaini Nasiruddin

“Memang sudah lama saya mengimpikan untuk beraksi bersama skuad negara dalam SOJC ini dan tahun ini saya ada peluang itu. Sudah pasti saya tidak akan sia-siakan peluang ini kerana kami akan berdepan pasukan yang bertaraf dunia.

“Dengan kehadiran pasukan besar dalam SOJC, ini adalah peluang terbaik untuk pasukan menilai sejauh mana kemampuan sebenar kita. Sudah pasti ia akan menjadi persaingan yang sukar tetapi itu bukan alasan untuk kita menyerah kalah awal,” kata Muhibuddin.

Selain Muhibuddin, tiga lagi tonggak yang membantu Melaka menjuarai Piala Razak 2019 turut menjadi taruhan Nur Saiful bagi menghadapi SOJC kali ini iaitu, Muhammad Nur Asyraf Ishak, Muhammad Hafizi Zainudin dan Adam Aiman Mamat.

Selain Malaysia yang muncul juara pada 2011, saingan SOJC yang memasuki edisi kesembilan tahun ini turut menyaksikan persaingan antara juara bertahan, Great Britain, India, Australia, New Zealand dan Jepun.

Pada edisi 2018, anak buah Nur Saiful yang hadir tanpa kehadiran beberapa tonggak utama kerana tugasan di Argentina sekadar menamatkan saingan di tempat kelima.

Justeru, Muhibuddin bertekad untuk membantu pasukan bagi memperbaiki pencapaian itu dengan sekurang-kurangnya layak beraksi bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

“Kami akan mengadakan aksi persahabatan dengan Britain sebelum saingan bermula. Ini akan menjadi persiapan yang baik untuk kami memperbaiki kelemahan sebelum kejohanan.

“Bagi saya sasaran (layak beraksi di penentuan ketiga dan keempat) yang diletakkan jurulatih adalah realistik dan saya percaya ia bukan sesuatu yang mustahil untuk kami mencapainya. Apa pun, kami perlu fokus satu demi satu perlawanan,” katanya.

Malaysia akan membuka tirai kempen menentang India pada 12 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

- Advertisement -